
10 PEMPENGARUH DALAM RADAR JPJ, GAGAL JELASKAN CUKAI JALAN, INSURANS KERETA MEWAH
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan beberapa pempengaruh pemilik kenderaan mewah gagal menjelaskan cukai jalan dan insurans, dengan sekurang-kurangnya 10 individu kini berada dalam radar jabatan itu.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, kebanyakan individu terbabit dikenal pasti berpangkalan di bandar utama, khususnya Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
“Masih ada pemilik kenderaan, termasuk pempengaruh yang memiliki kereta mewah, belum menjelaskan cukai jalan dan insurans.
“Kami sedang memantau secara rapi pemilik kenderaan yang terus gagal menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya.
Muhammad Kifli berkata, operasi penguatkuasaan JPJ dilaksanakan secara berterusan termasuk operasi khas menyasarkan kenderaan mewah yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang.
“Bahagian penguatkuasaan kami meneruskan pemantauan dan operasi, termasuk pelaksanaan Op Luxury yang memberi tumpuan kepada kenderaan mewah,” katanya.
Op Luxury yang dilancarkan JPJ adalah operasi penguatkuasaan khas di seluruh negara dengan fokus terhadap kenderaan mewah, khususnya yang mempunyai tunggakan cukai jalan, insurans tamat tempoh serta kesalahan lalu lintas lain.
Operasi itu bertujuan memastikan semua pemilik kenderaan, tanpa mengira status atau gaya hidup, mematuhi peraturan jalan raya. – Buletin TV3









