
MASIH RAMAI PEMILIK KENDERAAN MEWAH DEGIL, CULAS BAYAR CUKAI JALAN
Sebanyak 915 kenderaan mewah seperti Aston Martin, Ferrari dan Lamborghini disita menerusi Ops Luxury Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak 1 Julai sehingga semalam.
Pengarah Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata masih ramai pemilik kenderaan mewah berdegil enggan memperbaharui cukai jalan berada dalam ‘radar’ pihaknya.
“Walaupun berlaku peningkatan pembayaran cukai jalan oleh pemilik kenderaan mewah, masih ramai belum membayar. Alasan sering diberikan sama, iaitu ‘terlupa’, ada juga yang kata masalah kewangan.
“Dalam hal ini, kereta mewah harga lebih RM300,000 mampu beli, takkan cukai jalan lebih kurang RM2,000 tak mampu bayar?” katanya pada sidang media Ops Pelbagai, di sini.
Muhammad Kifli memberi peringatan kepada pemilik kenderaan mewah supaya segera memperbaharui insurans dan cukai jalan kereta masing-masing kerana kenderaan tanpa cukai jalan sah boleh disita pada bila-bila masa.
Media sebelum ini melaporkan JPJ mempunyai senarai kira-kira 1,000 kenderaan mewah yang gagal memperbaharui cukai jalan. – Berita Harian









