
ADAKAH INI TRAK PIKAP HILUX ELEKTRIK?
Dalam banyak-banyak kereta konsep yang didedahkan oleh Toyota baru-baru ini, salah satu model yang agak menonjol ialah sebuah trak pikap berkuasa elektrik.
Biarpun tiada sebarang informasi lanjut didedahkan, dari segi pandangan kasar dimensi trak pikap elektrik ini dilihat menyamai saiz yang ditawarkan oleh model trak pikap Toyota Tacoma.

Di Amerika Syarikat, Toyota Tacoma diposisikan di tengah-tengah antara Toyota Hilux dan juga trak pikap saiz penuh Toyota Tundra, bermakna ia lebih besar berbanding Hilux, namun kecil dimensinya berbanding Tundra.
Sebagai sebuah EV, trak pikap ini tidak memerlukan rekaan gril yang terbuka, begitu juga dengan kehadiran liang-liang palsu di bahagian bawah unit lampu utama.
Namun, ia tetap menampilkan rekaan yang agresif seperti fender flare yang lebar, diikuti dengan tiang A dan perumah cermin sisi berwarna hitam.
Pada ketika ini, Toyota sedang menguji generasi baharu trak pikap Tacoma, malah terdapat ura-ura Toyota akan menggabungkan Hilux dan Tacoma menjadi satu produk tunggal demi menjimatkan kos pembangunan.
Adakah model ini bakal direalisasikan sebagai Tacoma EV? Atau Hilux EV?