" "
Buletin

HYUNDAI-KIA BAKAL TAMATKAN KONTRAK PETER SCHREYER DAN ALBERT BIERMANN?

Memetik laporan media Korea Times, khidmat Presiden divisyen R&D Hyundai-Kia, Albert Biermann serta Presiden dan Ketua Pengurusan reka Bentuk Hyundai, Peter Schreyer mungkin tidak diperlukan lagi.

Kedua-dua eksekutif kanan itu sememangnya merupakan antara individu penting yang bertanggungjawab menaikkan reputasi jenama kenderaan Korea tersebut di peringkat global.

Namun, pertukaran mungkin berlaku kerana Hyundai ingin berubah menjadi firma penyedia mobiliti. Sebahagian perubahan besar yang dirancang berlaku minggu ini bakal menyaksikan Pengerusi Hyundai, Chung Euisun mungkin menukar eksekutif-ekskutif warga asing.

Dalam satu rombakan pegawai pada Oktober tahun lalu, Euisun melantik sejumlah eksekutif baharu yang dipercayainya, termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif Hyundai Motors, Chang Jae-hoon.

Schreyer sudah bersama dengan Hyundai Group sejak tahun 2006. Sebelum itu, dia berkhidmat dengan Audi dan Volkswagen. Sering dilihat sebagai sebagai kuasa di sebalik perubahan estetik kenderaan Kia, Schreyer popular dengan rekaan gril ‘hidung harimau’.

Sepanjang berada di sana, dia terlibat dalam proses reka bentuk beberapa model seperti Hyundai i30, Kia K5 dan Genesis G90.

Biermann pula menyertai konglomerat tersebut pada tahun 2015 dan sebelum itu merupakan ketua divisyen BMW M. Terlibat secara langsung dalam projek-projek seperti Kia Stinger dan kenderaan N berprestasi tinggi, pengaruh Biermann dalam Hyundai memang tidak dapat dinafikan.

Sumbangan kedua-dua eksekutif kanan itu ke atas Hyundai dan Kia sangat besar, sebab itulah berita pemergian mereka agak mengejutkan.

“Hyundai Motor Group enggan untuk melantik muka-muka baharu ketika syarikat cuba untuk berubah menjadi penyedia mobiliti dan bukan pengeluar kenderaan semata-mata,” kata sumber.

Google ads
Back to top button