Buletin

HONDA “BULLDOG STYLE” BAWA NOSTALGIA KE ERA EV MODEN MELALUI SUPER-ONE

Honda sekali lagi mencuri perhatian dunia automotif apabila memperkenalkan konsep aksesori baharu yang digelar “REIWA BULLDOG”, direka khas untuk EV terbaharu mereka, Super-ONE.

Model ini sudah pun membuka tempahan awal dan menjadi bualan kerana pendekatan unik yang menggabungkan elemen retro dengan teknologi elektrik moden.

Walaupun Super-ONE hadir sebagai sebuah EV kompak yang lincah dan menyeronokkan untuk dipandu, Honda Access—bahagian yang mengendalikan aksesori rasmi Honda, telah menambah satu lagi dimensi baharu melalui konsep “Bulldog Style”.

Matlamatnya adalah untuk menghidupkan kembali semangat dan keterujaan model Honda era terdahulu, tetapi dalam bentuk yang lebih moden dan relevan.

Antara ciri paling menonjol ialah pelekat khas pada pintu yang menampilkan tulisan “BULLDOG WITH ELECTRIC POWER”.

Rekaan ini jelas mengambil inspirasi daripada gaya klasik City Turbo II yang pernah menggunakan tulisan “TURBO II WITH INTERCOOLER”.

Namun, ia telah diolah semula untuk menyesuaikan identiti EV, menjadikannya gabungan antara warisan dan masa depan.

Selain elemen grafik, “Bulldog Style” turut merangkumi pelbagai naik taraf visual dan fungsi. Ini termasuk kit badan dengan bentuk lebih dinamik dan beralun, yang bukan sahaja meningkatkan imej sporty tetapi juga membantu aspek aerodinamik serta kestabilan visual kenderaan.

Sistem lampu kabus LED bi-warna turut ditawarkan, dengan pilihan cahaya kuning yang mengingatkan kepada gaya lampu kabus era lama, serta mod putih yang lebih praktikal untuk kegunaan harian moden. Sentuhan ini memberi keseimbangan antara estetika klasik dan fungsi kontemporari.

Dari sudut roda, Super-ONE dilengkapi dengan rim aloi 15-inci model ME-027 yang disiapkan dalam kemasan Berlina Black, menambah elemen agresif dan sporty pada keseluruhan reka bentuk.

Tidak ketinggalan, Honda turut memperkenalkan penggunaan emblem hitam penuh bagi logo Honda, simbol jenama dan nama model.

Pendekatan ini memberikan penampilan lebih bersih, premium dan moden, selari dengan identiti EV baharu mereka.

Secara keseluruhan, konsep “Bulldog Style” ini bukan sekadar kosmetik, tetapi satu usaha Honda untuk mengekalkan elemen “fun to drive” yang menjadi identiti mereka sejak dahulu lagi.

Walaupun tren automotif kini bergerak ke arah elektrifikasi, Honda cuba memastikan emosi dan keseronokan pemanduan tetap menjadi teras utama.

Honda Super-ONE dijangka mula memasuki pasaran sekitar hujung Mei 2026, dan dengan pakej aksesori unik ini, ia berpotensi menjadi antara EV paling menyerlah dari segi karakter dan gaya di jalan raya.

Google ads
Back to top button