
AKSI PENUH GAYA SUPER GT WARNAI PUSINGAN KEDUA VIOS CHALLENGE DI SEPANG
Suasana penuh adrenalin ala perlumbaan SUPER GT menyelubungi Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang apabila Pusingan Kedua Vios Challenge berlangsung dengan penuh drama dan persaingan sengit dari mula hingga tamat.
Menambah keunikan, perlumbaan kali ini menggunakan format endurance selama satu jam; satu kelainan berbanding perlumbaan pecut 10 pusingan yang biasa.
Sebanyak 36 pelumba dari dalam dan luar negara termasuk Thailand, Singapura dan India, menyahut cabaran di atas trek sepanjang 5.543 km itu.

Ketiga-tiga kategori iaitu Super Sporting, Sporting dan Rookie digabungkan dalam satu perlumbaan epik, sekali gus meningkatkan intensiti dan kepelbagaian strategi.
Acara ini dianjurkan serentak dengan pusingan Malaysia untuk siri AUTOBACS SUPER GT, sekali gus menarik perhatian lebih 28,000 peminat pada hari pertama, satu sambutan hangat setelah 12 tahun siri ini tidak menjejak kaki ke tanah air.
Dalam kategori profesional Super Sporting, Mitchell Cheah dari pasukan Prima Pearl SP Selatan menunjukkan kelas tersendiri.

Bermula di barisan kedua, beliau terus memacu ke hadapan sebaik lampu isyarat padam dan tidak menoleh ke belakang walaupun kereta keselamatan masuk seawal pusingan kedua. Saingan sengit dari pelumba lain seperti Ady Rahimy (Laser Motor Racing), Eddie Lew, Nabil Azlan dan Freddie Ang tidak menggugat fokus Cheah.
“Perlumbaan ini memerlukan ketahanan mental dan fizikal. Saya terpaksa kawal kehausan tayar dan jaga konsistensi hingga ke akhir,” jelas Cheah, yang berjaya mencipta jurang dua saat di hadapan pesaing terdekatnya.
Ady akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala Freddie Ang dari Telagamas Toyota melengkapkan podium selepas berentap rapat.

Kategori Sporting pula menyaksikan kemenangan berganda buat pasukan BAE Racing by ES Yang, dengan Justin Toh dan Elson Lew muncul juara dan naib juara.
Tempat ketiga menjadi milik pelumba dari Thailand, Varunchit Wattanathanakun (RUK Team Nexzter PMC 52), yang juga mencatat podium dua kali berturut-turut hujung minggu ini.
Sementara itu, dalam kategori Rookie, Justin Rahul Dev menebus kekecewaan di Race 1 dengan kemenangan bergaya, diikuti oleh pelumba wanita Genevieve Ooi yang membuat kemunculan terbaiknya sejak menyertai Program Pembangunan Bakat Toyota GAZOO Racing Malaysia.
Aydan Khaliq pula melengkapkan tiga teratas, menjadikan ini podium keduanya selepas memenangi Race 1.
- BACA: SUV ELEKTRIK XIAOMI YU7 DILANCARKAN DI CHINA – JARAK GERAK HINGGA 835KM, HARGA SEKITAR RM165K
- BACA: RASMI: PUSAT PAMERAN 4S KAWASAKI SERDANG KINI DIBUKA
- BACA: RASMI: KAWASAKI NINJA 1100 SX SE, VERSYS 1100 KINI DI MALAYSIA – DARI RM65,100
- BACA: KENAPA HIBRID HEV JEPUN GUNA ENJIN NA? TAPI CHINA GUNA TURBO



