
SUV ELEKTRIK XIAOMI YU7 DILANCARKAN DI CHINA – JARAK GERAK HINGGA 835KM, HARGA SEKITAR RM165K
Xiaomi baru-baru ini secara rasmi melancarkan SUV elektrik pertama mereka, Xiaomi YU7. Ditawarkan dalam tiga varian; Standard, Pro dan Max – model ini dibuka untuk tempahan di China dengan harga bermula dari 253,500 yuan ( sekitar RM165,000).
Dibina di atas platform Modena EV, YU7 menampilkan reka bentuk fastback yang aerodinamik dengan gril aktif, pemegang pintu tersembunyi, dan pekali seretan serendah 0.245.

Dimensinya pula menempatkannya dalam kategori SUV saiz sederhana ke besar dengan panjang 4,999mm, lebar 1,996mm dan tinggi 1,608mm, dengan jarak roda sejauh 3,000mm.
- YU7 Standard: Pacuan belakang, motor tunggal 235kW, bateri LFP 96.3kWh, 0-100km/j dalam 5.88 saat dan jarak pemanduan sejauh 835km (standard CLTC).
- YU7 Pro: Sistem pacuan semua roda dengan dua motor, 365kW kuasa, 0-100km/j hanya dalam 4.27 saat, jarak 770km.
- YU7 Max: Trim tertinggi dengan kuasa 508kW (866Nm), bateri NCM 101.7kWh dan pecutan 0-100km/j serendah 3.23 saat. Jarak pemanduan: 760km.
Ketiga-tiga varian ini menyokong seni bina 800V berasaskan silikon karbida dan boleh dicas ultra-pantas (5.2C), membolehkan penambahan jarak hingga 620km hanya dalam 15 minit pengecasan.

Dalaman YU7 tampil premium dengan tempat duduk Nappa kulit, kerusi depan “zero-gravity” bersudut 123° lengkap urutan, serta kerusi belakang boleh laras elektrik hingga 135°.
Di hadapan, skrin HyperVision selebar 1.1 meter menggabungkan tiga paparan Mini LED resolusi tinggi untuk paparan yang imersif, manakala penumpang belakang menikmati skrin kawalan berukuran 6.68-inci.
Antara ciri menarik lain:
- Sistem audio Dolby Atmos 25 pembesar suara
- Peti sejuk mini 4.6L
- 36 ruang simpanan termasuk laci belakang 5.2L
- Sokongan penuh untuk ekosistem Apple (CarPlay, Apple Music, Apple Watch)
YU7 dilengkapi teknologi pemanduan bantuan Xiaomi yang dibangunkan menggunakan 10 juta klip data, disokong cip Nvidia Thor (700 TOPS) dan sistem lidar.

Badannya dibina daripada gabungan besi dan aluminium dengan keluli ultra-kuat 2200 MPa dan pelindung bateri kalis peluru. Model ini telah diuji selama 539 hari di 296 lokasi, sejauh lebih 6.49 juta km dalam pelbagai keadaan ekstrem.
Tempahan boleh dibuat sekarang dengan deposit boleh pulang sebanyak 5,000 yuan ( sekitar RM3,300).
Pengeluaran akan bermula pada Julai di fasiliti Fasa 2 Xiaomi, dengan kapasiti tahunan sasaran 150,000 unit.
Walau bagaimanapun, permintaan tinggi dijangka menyebabkan tempoh menunggu menjangkau hingga tahun 2026.





