Buletin

PROTON DAN GRAB MALAYSIA PERKUKUH KERJASAMA, SOKONG PEMANDU E-HAILING DENGAN TAWARAN BAHARU

Proton dan Grab Malaysia memperkukuhkan lagi kerjasama strategik mereka demi menyokong komuniti e-hailing tempatan, menerusi peluasan program sedia ada dengan pelbagai manfaat baharu untuk rakan-pemandu.

Langkah terbaharu ini menyaksikan lebih banyak model ditawarkan termasuk Proton S70 dan barisan kenderaan SUV X-Series yang kini tersedia untuk dimiliki oleh pemandu Grab melalui pakej khas.

Ia turut dilengkapi insentif menarik seperti rebat tunai sehingga RM13,000, diskaun servis selama dua tahun atau 40,000km, serta baucar minyak petrol bernilai RM500.

Inisiatif ini dibina atas kejayaan kempen Saga Power Up for Grab Driver-Partners yang dilancarkan pada November 2024.

Kempen itu berjaya menghasilkan lebih 220 petunjuk jualan dan 148 pendaftaran kenderaan model Saga, sekaligus membuktikan permintaan tinggi terhadap jenama Proton dalam kalangan pemandu e-hailing.

Melalui kerjasama ini, pemandu Grab kini boleh memilih daripada rangkaian model yang lebih meluas, termasuk kategori GrabCar Plus dan GrabCar (6-Seater), dengan sokongan selepas jualan serta penyelenggaraan lebih menjimatkan.

Menurut Timbalan Pengarah Jualan Proton Edar, Ong Chee Wooi, “Kerjasama ini bukan sahaja membuka peluang baharu buat pemandu e-hailing, malah menyediakan penyelesaian menyeluruh yang memenuhi keperluan mereka dalam aspek kos, ketahanan dan keselesaan.”

Kerjasama ini mencerminkan aspirasi bersama kedua-dua jenama dalam menyokong ekonomi gig serta memastikan ekosistem e-hailing tempatan terus berkembang secara mampan dan inklusif.

Untuk info lanjut tentang model dan tawaran eksklusif Proton kepada pemandu Grab, layari www.proton.com atau laman rasmi Grab Malaysia.

Google ads
Back to top button