BAYI MAUT, SEMBILAN JAM DITINGGALKAN DALAM KERETA
Seorang bayi berusia setahun meninggal dunia selepas dia ditinggalkan di dalam sebuah kereta yang diletakkan di luar hospital selama sembilan jam di Washington, Amerika Syarikat (AS), lapor stesen penyiaran CNN semalam.
Ibu angkat mangsa tiba di hospital itu untuk bekerja pada pukul 8 pagi (waktu tempatan) Rabu lalu dan tidak menyedari dia meninggalkan kanak-kanak itu, sehingga dia pulang pada pukul 5 petang (waktu tempatan), kata pegawai maklumat awam Jabatan Polis Puyallup, Don Bourbon.
“Bayi tersebut dikejarkan ke hospital tetapi tidak sedarkan diri,” tambah Bourbon.
Suhu persekitaran pada hari kejadian di bandar Puyallup yang terletak di tenggara Tacoma adalah antara 21 hingga 23.9 darjah Celsius tetapi suhu di dalam kereta adalah sekitar 43.3 darjah Celsius, kata polis.
Ibu angkat mangsa dan keluarga sebenarnya bekerjasama ketika siasatan dan tiada pertuduhan difailkan. – Agensi