Buletin

MEKANIK MAUT AKIBAT TAYAR JENTOLAK MELETUP DI SUNGAI BULOH

Seorang pekerja pusat servis kenderaan maut, manakala seorang lagi parah selepas tayar jentolak meletup ketika sedang diisi angin dalam kejadian di Bandar Baru Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 12.40 tengah hari ketika kedua-dua mangsa sedang mengisi angin tayar sebuah jentolak.

“Bagaimanapun, tayar berkenaan tiba-tiba meletup sehingga terkena kedua-dua mangsa mengakibatkan salah seorang maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi parah.

“Mangsa yang parah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, semakan mendapati kedua-dua mangsa berusia 19 dan 21 tahun merupakan lelaki warga tempatan.

Katanya, kejadian diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

“Siasatan sebelum ini mendapati kejadian terbabit telah ditularkan menerusi satu gambar kejadian berserta rakaman suara.

“Orang ramai diingatkan agar tidak menyebarkan atau membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian,” katanya.

Pada Khamis, tular gambar serta rakaman suara berkaitan kejadian melibatkan tayar meletup di sebuah pusat servis kenderaan di sini. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button