Buletin

BAYI PEREMPUAN 17 BULAN MAUT DIGILIS TOYOTA HILUX DIUNDUR SEPUPU

Seorang bayi perempuan berusia 17 bulan maut akibat digilis sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu secara mengundur oleh sepupunya di Kampung Darat Kolam, Kerteh di sini malam tadi.

Dalam kemalangan pada pukul 8.20 malam itu, mangsa, Syaza Syazwina Zahra Mohd. Sazali meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sewaktu kejadian, remaja berusia 19 tahun tersebut sedang mengundur kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux yang diletakkan di hadapan rumahnya.

“Dia dikatakan mahu pulang ke rumah bapa mentuanya di Rasau, Kerteh dan pada masa sama,mangsa (Syaza Syazwina Zahra) telah keluar rumah sendirian tanpa disedari sesiapa.

“Bayi itu dikatakan berjalan menuju belakang kenderaan pacuan empat roda sedang diundur sepupu perempuannya sebelum digilis,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Hanyan berkata, remaja berusia 19 tahun tersebut mendakwa tidak perasan kehadiran Syaza Syazwina Zahra. Bayi malang itu disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan. – KOSMO! ONLINE

Google ads
Back to top button