
AUDI A3 S LINE. 188HP, 320NM TORK TAPI 21KM/LITER
Audi A3 generasi pertama lahir pada tahun 1996, merupakan satu produk permulaan yang ditawarkan oleh Audi bagi pembeli pertama di negara Eropah. Di sana, model Audi A3 ini akan bersaing dengan jenama premium yang lain seperti BMW 2 Series, BMW 1 Series dan juga Mercedes Benz A Class
Di United Kingdom, secara purata gaji graduan yang mula bekerja akan ditawarkan gaji purata sekitar 24,291 Euro setahun. Manakala Audi A3 varian termurah pula ditawarkan dengan harga sekitar 27,850 Euro. Menarik kan kalau dibandingkan dengan nasib graduan di sini
1. Rekaan luar inspirasi Lamborghini – ya Audi menggunakan rekaan luar Lamborghini bagi rekaan luar Audi A3 terutama pada rekaan lampu LED depan dan juga lampu LED belakang. Bagi varian S Line, Audi A3 ini diberikan kemasan yang lebih agresif dan sporti terutama pada bampar depan, bampar belakang dengan ekzos tipu-tipu serta lencana S Line

2. Untuk rekaan bawah cesi, ia direka hampir rata bagi membolehkan udara bergerak laju di bahagian bawah dan menghasilkan pekali geseran 0.28. Malah Audi juga memasang angkup brek istimewa yang tidak bergeser dengan cakera brek bagi mengurangkan geseran mekanikal ketika Audi A3 dipandu
3. Dari segi saiz, Audi A3 datang dengan panjang 4495mm dan juga lebar 1816mm, dan ia adalah besar sedikit sahaja daripada Honda City atau Toyota Vios tapi lebih kecil berbanding dengan Toyota Corolla. Rim pula diberikan saiz 17 inci dan dibalut dengan tayar Bridgestone Turanza.
4. Jarak antara roda pula ditetapkan pada 2636mm, tapi sama seperti kebanyakan jenama Continental yang lain bahagian dalam tidaklah besar sangat. Untuk kemasan S LIne, Audi A3 menerima kusyen balutan kulit dan kusyen rekaan semi bucket, kemasan logam bersinar pada papan pemuka, balutan kulit berlubang pada roda stering, pedal minyak dan brek amuminium serta kemasan bingkai pintu aluminium

5. Ruang kargo belakang pula ialah sekitar 425 liter dengan kusyen barisan belakang boleh dilipat bagi membesarkan ruang kargo. Sama seperti model Audi lain, terdapat ciri snow board hole atau ski board hole pada kusyen barisan belakang bagi membolehkan pemandu membawa peralatan alat luncur
6. Ruang kaki belakang terasa sedikit terhad dengan kehadiran transmission hump tapi tidaklah ketara sangat. Unit paparan multimedia pula ditawarkan dengan saiz 10.23 inci lengkap dengan sambungan Apple Car Play dan Android Auto.
7. Unit paparan meter pula diberikan ciri digital sepenuhnya namun rekaan meter digital hanya terhad kepada 2 shaja. Rekaan corong penyaman udara pula mengambil inspirasi daripada rekaan Lamborghini Urus. Turut ditawarkan ialah 2 poin USB type C, soket kuasa 12 volt dan ciri Electric Parking Brake.

8. Enjin EA888 2000cc 4 silinder turbo dengan suntikan terus memberikan khidmat pada Audi A3, membekalkan sekitar 188 kuasa kuda dan 320Nm tork. Enjin dalam generasi ke 3 ini lengkap dengan sistem Valvelift (baca VTEC), sistem pemasaan injap VVTi, turbo Garret MGT berupaya melepasi piawaian asap Euro 6
9. Enjin ini dipautkan dengan transmisi 7 kelajuan klac berkembar DSG lengkap dengan ciri Paddleshifter yang ebrada di belakang stering. Audi A3 boleh memecut 0-100 dalam masa 7.3 saat dengan halaju tertinggi sekitar 240km/jam.
10. Audi secara rasmi memberikan bacaan bahan api sekitar 16km/jam, namun ujian bacaan sebenar yang dilakukan oleh penulis dengan halaju sekitar 110-130km/jam menunjukkan Audi mampu mencatatkan bacaan setinggi 21km/liter petrol

11. Dalam aspek keselamatan, selain diberikan ciri 6 beg udara, sistem ESC dan brek ABS Audi A3 hanya diberikan ciri Tyre Pressure Monitoring System dan juga Lane Departure Warning sahaja. Malah lampu depan juga tidak diberikan ciri Auto High Beam walaupun ia adalah lampu LED. Sayang.
12. Setelah memandu uji Audi A3 selama 5 hari, penulis dapat simpulkan yang karekter pemanduan Audi A3 ini menjurus ke arah “solid & firm”. Kualiti binaan cesi memang terasa solid dan ditambah pula dengan tetapan spring yang terasa sedikit keras tapi tidak terlalu keras seperti BMW 3 330i M Sport.
13. Gandingan enjin 2000cc turbo dan transmisi DSG 7 kelajuan menghasilkan rasa pemanduan yang bertenaga, lancar dan pada masa sama terasa tenang jika anda tidak menekan pedal rapat ke lantai. Pada kelajuan antara 130-140km/jam, enjin ini hanya berputar sekitar 2000 RPM sahaja

14. Unit bantuan brek pula menerima ciri electric booster yang menghasilkan cengkaman brek yang padat dan meyakinkan. Namun pemilihan tayar Bridgestone Turanza yang pada hemat penulis khusus untuk keselesaan seperti membantutkan sedikit penghantaran kuasa daripada roda ke permukaan jalan, cengkaman brek di selekoh tapi masih lagi OK bagi brek kecemasan
15. Tapi jika anda memulakan pecutan dari keadaan statik dengan agresif, maka tayar ini akan mula “berkokok” mencari cengakaman tambahan. Namun pada masa yang sama tayar yang lembut ini menutralkan sedikit ketegaran cesi ketika melalui jalan tidak rata. Audi A3 tidak menyebabkan anda menyumpah seranah ketika melalui jalan berlopak ataupun ketika memandu laju di lebuhraya
16. Ia tetap mengekalkan ciri sporti ketika memandu di selekoh, membenarkan anda mengambil selekoh dengan kelajuan maksimum serta mengekalkan kejituan stering dengan respon cesi yang pantas apabila input stering diberikan.

17. Cuma kadang kala ketika melalui jalan berselekoh, jika anda terlalu agresif penulis risaukan ia akan menyebabkan penumpang di belakang terasa pening. Untuk rekod, rekaan suspensi di depan menggunakan Topang McPherson manakala rekaan belakang menggunakan MultiLink
18. Bagi hemat kami, Audi A3 masih mengekalkan nilai eksklusiviti disebabka tidak ramai pembeli daripada Malaysia yang membeli Audi A3 yang berharga RM 327,162. Namun pada masa yang sama harga ini terlalu “pahit” untuk ditelan sedangkan Mercedes A Class A 200 (RM 223k), A250 (RM 254k) dan BMW 2 Series dijual pada harga RM 236k sahaja.
Namun pada pandangan penulis, Audi A3 memiliki kelebihan dari segi rekaan luaran, enjin yang lebih berkuasa dan nampak lebih sporti berbanding pesaingnya yang lain. Terpulang pada minat dan kecenderungan anda
