
LELAKI TUNGGANG LAWAN ARUS SEBABKAN KEMATIAN PENUNGGANG DUCATI PANIGALE DITUDUH DI MAHKAMAH HARI INI
Lelaki yang menunggang motosikal secara melawan arus hingga mengakibatkan penunggang motosikal Ducati Panigale maut, di Lebuh Raya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) akan dituduh hari ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, lelaki berusia 41 tahun dari Kajang, Selangor itu sebelum ini direkodkan keterangan ketika membuat laporan di Balai Polis Trafik Kajang.
“Suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang Jaya pada pukul 8.30 pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Pada 14 Jun lalu, Kosmo! melaporkan seorang penunggang motosikal Ducati Panigale meninggal dunia akibat cedera parah selepas terbabas dan terjatuh dari jejambat SUKE apabila cuba mengelak penunggang motosikal lain yang menunggang secara melawan arus.
Kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, menyebabkan mangsa melanggar penghadang sebelah kiri jalan lalu terhumban dan terjatuh ke bawah pada ketinggian kira-kira 30 meter.
Motosikal yang ditunggang mangsa turut terseret ke tengah jalan. Mayat mangsa ditemui tertiarap di belakang pagar Stesen Kawalan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) Sungai Klang.
Ekoran kemalangan itu, penunggang motosikal yang menunggang secara melawan arus tampil membuat laporan polis pada 16 Jun lalu.
Siasatan mendapati, lelaki tempatan berusia 41 tahun itu menunggang demikian kerana tersesat lalu mengambil keputusan menaiki jejambat SUKE untuk pulang ke rumahnya di Kajang. – KOSMO! ONLINE