
BENDIX, KEGANI RACING ACADEMY ANJUR PROGRAM PEMANDUAN DEFENSIF – TUNJUK TEKNIK PEMANDUAN SELAMAT
FMP Automotive Malaysia, pengurus jenama komponen brek terkemuka Bendix, baru-baru ini telah menganjurkan program pemanduan defensif pada 16 Mei lalu bagi meraikan ulang tahun ke-100 jenama tersebut.
Program ini dijalankan dengan kerjasama Kegani Racing Academy, sebuah akademi yang terkenal melahirkan ramai pelumba tempatan dan dipimpin oleh duta Bendix Malaysia, Kenny Lee.
Program yang berlangsung di perkarangan tempat letak kereta Stadium Shah Alam ini dibuka untuk penyertaan pelanggan serta pengedar Bendix di Malaysia.
Selain itu, beberapa wakil media tempatan turut dijemput untuk merasai pengalaman ini.

Melalui program ini, kelas teori juga telah diadakan, di mana peserta didedahkan kepada teknik pemanduan yang betul dan selamat, serta kaedah-kaedah untuk mengelakkan kemalangan.
Sesi ini kemudian diteruskan dengan kelas amali, di mana para peserta menerima tunjuk ajar langsung daripada jurulatih pemanduan dan pelumba profesional dari Kegani Racing Academy.
Antara aktiviti dijalankan adalah termasuk latihan slalom untuk memperbaiki teknik memutar stereng dan menekan pedal pendikit, latihan mengubah haluan sewaktu kecemasan, serta latihan membrek dengan teknik yang betul sama ada menggunakan sistem brek ABS atau tanpa ABS.
Penganjur turut menyediakan dua buah Suzuki Swift dilengkapi dengan dua jenis pad brek Bendix iaitu Bendix General CT dan Bendix Metal King, membolehkan peserta merasai prestasi berbeza yang ditawarkan oleh kedua-dua jenis pad brek tersebut.

Bendix General CT adalah pad brek yang dihasilkan menggunakan material organik bukan asbestos, sesuai untuk kegunaan harian.
Manakala Metal King adalah pad brek untuk tugas lebih berat, dihasilkan menggunakan material separa-metalik.
Menurutnya, program ini juga bertujuan mendidik peserta mengenai pelbagai salah faham tentang pemilihan pad brek di pasaran.
Menurut penganjur, memilih pad brek yang betul bukanlah mengenai memilih pad brek paling mahal, tetapi ia perlu berdasarkan jenis dan tugas kenderaan digunakan, keadaan jalan raya, berat kenderaan, serta rasa pada pedal brek.
Dengan penganjuran program ini, Bendix berharap dapat meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya pemanduan defensif serta pemilihan pad brek yang tepat untuk memastikan keselamatan di jalan raya.
GALERI:









