Motosikal

GWM LANCAR SOUO S2000 GL – ENJIN 2000CC 8-SILINDER DENGAN DCT

Sebelum ini kami telah pun menerbitkan laporan bahawa Great Wall Motor (GWM) merancang untuk melancarkan syarikat motosikal sulung dengan motosikal tourer bernadikan enjin lapan silinder. 

Kami turut ke Beijing bagi menyaksikan enjin tersebut dengan lebih dekat ketika di Beijing AutoShow 2024. 

Bagaimanapun, dalam tempoh singkat GWM bukan sahaja memperkenalkan jenama motosikal Souo malah turut melancarkan model sulung S2000 GL dan S2000 ST di Beijing International Motorcycle Exhibition (Motor China). 

GWM merupakan pengeluar kereta ke-19 terbesar di dunia di hadapan Subaru dan Nissan dan memasarkan jenama seperti Ora, Haval, Tank dan Great Wall di pasaran global termasuk Malaysia. 

Pelancaran jenama Souo ini juga secara tak langsung menunjukkan ambisi GWM dalam menyaingi jenama automotif terkemuka dunia, Honda. Ini kerana S2000 GL merupakan pesaing kepada model flagship Honda, GL1800 Gold Wing. 

Untuk rekod, S2000 GL merupakan pesaing kepada Gold Wing Tour yang hadir dengan penyandar belakang pembonceng dan ‘top case’ sementara S2000 ST pula hanya dilengkapi dengan bag sisi seperti Gold Wing Standard. 

Walaupun GWM tidak mendedahkan info terperinci namun mereka tidak berselindung tentang spesifikasi enjin. Ini kerana Souo S2000 GL dan ST merupakan motosikal pengeluaran pertama dunia dipacu enjin 8-silinder 2,000cc yang dipadankan bersama transmisi DCT (dual-clutch transmission) 8-kelajuan. 

Untuk perbandingan, Gold Wing dikuasakan enjin enam silinder Unicam SOHC 1,833cc sementara S2000 GL dan ST mengguna pakai sistem DOHC. 

Bagaimanapun, susun atur S2000 GL dan ST mirip Gold Wing termasuk kerangka aluminium tuang (cast aluminium) yang dipadankan bersama fork jenis girder dengan gaya Hossack di depan dan penyerap hentak tunggal di belakang. Menariknya, konsep sama turut diguna pakai Gold Wing dan BMW K 1600. 

Bagi yang berpendapat GWM sekadar ‘meniru’ Gold Wing dan K1600, perlu diingatkan sistem suspensi ini lebih sesuai untuk motosikal yang besar dan berat atas faktor kejuruteraan. Ini kerana gaya Hossack bukan sahaja mempunyai kesan spring yang lembut malah mengelakkan dari berlakunya ‘brake dive’ yang keterlaluan. 

Meskipun begitu, reka bentuk S2000 GL dan ST ini langsung tidak mengikut acuan sama seperti Gold WIng terutamanya bentuk badan yang lebih bersudut dan tigak bersegi. GWM mendakwa motosikal tourer ini diinspirasikan dari lukisan singa dalam sejarah China. 

Ciri lain yang jelas kelihatan adalah pencahayaan LED penuh, brek Brembo radial 4-piston berkembar, pembesar suara, grip dan tempat duduk pemanas dan brek parkir elektronik. 

Selain itu juga di bahagian handlebar menempatkan butang kawalan skrin TFT, butang pelarasan penghadang angin, butang kawalan bunyi dan butang gear undur elektronik. 

Dalam pada itu, disebabkan S2000 ini digerakkan dengan sistem DCT, terdapat butang mod automatik dan separa automatik selain dari fungsi ‘cruise control’. 

GALERI: GWM SOUO S2000 GL

Google ads
Back to top button