Buletin

BMW CATAT REKOD JUALAN 2014

BMW Group Malaysia semalam mengumumkan rekod prestasi tertinggi dalam sejarahnya. Sekali gus mengukuhkan posisinya selaku pengeluar kenderaan premium nombor satu di Malaysia. 

BMW-financial-briefing-mekanika (4)

Pada tahun 2014, BMW Group Malaysia mencatatkan rekod keseluruhan penghantaran 9,046 unit kenderaan yang merangkumi 7,808 unit BMW, 655 MINI dan 583 BMW Motorrad. Ini merupakan peningkatan sebanyak 13.4% berbanding tempoh sama pada tahun 2013 (7,974 unit).

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Alan Harris menyatakan bahawa permintaan kukuh terhadap varian-varian BMW 3 Series, BMW 5 Series, serta pengenalan model-model baharu BMW, MINI dan Motorrad pada tahun 2014 menjadi sebab utama yang memacu pengeluar kenderaan premium ini mencatat rekod prestasi jualan tertinggi di Malaysia. 

BMW-financial-briefing-mekanika (10)

“Ketika BMW 3 Series dan BMW 5 Series kekal menjadi pesaing utama di pasaran dan cukup dihargai oleh para pelanggan, kami juga telah menawarkan lebih banyak pilihan ke dalam segmen kenderaan premium tempatan menerusi pengenalan model-model seperti BMW X4 serba baharu dan MINI baharu.

“Tidak ketinggalan, model-model Motorrad seperti BMW R nineT dan BMW S 1000 R. Malah, penambahan jumlah pelaburan ke atas kemudahan pemasangan tempatan untuk model BMW X5, MINI Countryman serta motosikal BMW F800GS dan F800R mencatatkan sejarah tersendiri buat BMW Group Malaysia, bukan sahaja di Malaysia, tetapi di Asia Tenggara. Ia membuktikan lagi komitmen kami terhadap Malaysia,” kata Harris.

BMW-financial-briefing-mekanika (2)

Naib Presiden Kanan Rantau Asia, Pasifik dan Afrika Selatan BMW Group, Hendrik von Kuenheim pula memberitahu, tahun 2014 merupakan tahun terbaik, bukan sahaja buat BMW Group Malaysia, malah untuk BMW Group di seluruh dunia.

“Kami yakin dapat meneruskan momentum yang dijana pada tahun lalu ke tahun 2015. Ini kerana kami sentiasa berusaha menjalin sinergi dengan kerajaan Malaysia untuk mengoptimumkan lagi penawaran kenderaan-kenderaan premium kepada para pelanggan tempatan,” jelas Kuenheim.

BMW-financial-briefing-mekanika (9)

BMW Group Malaysia kini sedang giat mengadakan perbinangan dengan kerajaan berkaitan kenderaan cekap tenaga (EEV). Hasil perbincangan tersebut dikatakan bakal diketahui pada suku pertama tahun ini.

Dalam sidang media yang sama, Harris menyatakan bahawa pihaknya akan memperkenalkan beberapa model menarik pada tahun ini. Antaranya ialah BMW 2 Series Active Tourer yang bakal menjengah pasaran pada April depan.

BMW-financial-briefing-mekanika (8)

“Dengan situasi semasa seperti kejatuhan nilai ringgit dan ketidaktentuan pasaran akibat GST yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi, kami melihat suku pertama agak mencabar.

“Namun begitu, BMW Group Malaysia tetap optimis untuk mencatat satu lagi rekod untuk tahun 2015,” kata Harris.

SONY DSC

Di peringkat global, BMW Group berjaya mengukuhkan posisinya selaku kumpulan pengeluar kenderaan premium terbesar di dunia. Penghantaran kenderaan sebanyak 2,117,965 unit kenderaan di seluruh dunia menyaksikan lonjakan 7.9% berbanding tahun sebelumnya (2013: 1,963,798 unit), satu peningkatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah syarikat tersebut.

BMW-financial-briefing-mekanika (7)

Di Asia, BMW Group turut menyaksikan pertumbuhan yang kukuh pada tahun 2014 melalui penghantaran sebanyak 656,395 unit BMW dan MINI, peningkatan 13.8% berbanding tempoh sama pada tahun 2013 (576,616 unit).

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button