Buletin

BRIDGESTONE HASILKAN TAYAR POTENZA SPORT KHUSUS UNTUK LAMBORGHINI FENOMENO

Bridgestone mengumumkan kerjasama eksklusif sebagai pembekal tayar rasmi untuk model terbaharu Lamborghini, Fenomeno, sebuah jentera edisi terhad yang hanya dikeluarkan sebanyak 29 unit di seluruh dunia.

Fenomeno dibangunkan sempena ulang tahun ke-20 pusat reka bentuk Lamborghini di Sant’Agata Bolognese, Itali. Dengan enjin V12 berkuasa 1,080 CV, ia kini memegang gelaran kereta terpantas Lamborghini, mampu memecut dari 0-100 km/j dalam hanya 2.4 saat, serta 0-200 km/j dalam 6.7 saat.

Sebagai ‘Rakan Teknikal Rasmi’, Bridgestone menghasilkan tayar Potenza Sport khusus untuk menampung kuasa luar biasa supercar ini.

Tayar berprestasi tinggi tersebut hadir dalam saiz 265/30 ZRF21 di bahagian depan dan 355/25 ZRF22 di belakang, lengkap dengan teknologi Run Flat (RFT) yang membolehkan pemandu terus bergerak sejauh 80 km pada kelajuan 80 km/j walaupun selepas tayar kehilangan tekanan angin sepenuhnya.

Selain itu, Lamborghini turut menawarkan pilihan tayar separa slick keluaran khas Bridgestone yang direka untuk kegunaan trek, namun masih sah digunakan di jalan raya awam. Pilihan ini hadir dalam saiz rim 20 dan 21-inci.

Naib Presiden Jualan OE Bridgestone EMEA, Radoslaw Bolkowski berkata, pihaknya berdepan cabaran besar untuk mengeluarkan tayar yang mampu mengoptimumkan kuasa V12 paling berkuasa Lamborghini.

“Potenza yang dibangunkan khusus ini memberikan cengkaman, kawalan dan ketepatan maksimum, sama ada di jalan raya mahupun di litar,” katanya.

Pengarah Pemasaran Lamborghini, Christian Mastro pula menekankan kepentingan tayar dalam prestasi supercar.

“Hampir 70 peratus peningkatan prestasi hari ini datang daripada pembangunan tayar. Dengan Bridgestone, kami mempunyai rakan yang memahami bahawa rekaan dan prestasi perlu seiring,” jelasnya.

Kerjasama antara Lamborghini dan Bridgestone telah terjalin sejak lima tahun lalu, menyaksikan jenama tayar itu turut menjadi pilihan untuk model-model lain seperti Huracán STO, Tecnica, EVO, Sterrato, Revuelto dan Temerario.

Menariknya, tayar Fenomeno dibangunkan di Itali menggunakan teknologi Virtual Tyre Development (VTD) yang membolehkan pengurangan sehingga 60 peratus penggunaan bahan mentah dan pelepasan CO2 sepanjang proses pembangunan.

VTD juga mempercepatkan masa pembangunan sehingga 50 peratus berbanding kaedah konvensional.

Google ads
Back to top button