Artikel Pilihan

LAMBO TAYANG URUS BARU LEBIH 800HP. JUTAWAN TIMBANG KILO, JOM PECAHKAN TABUNG

Lamborghini mengesahkan bakal memperkenalkan sebuah model baharu daripada keluarga Urus pada 1 Julai ini selepas menyiarkan imej teaser yang memaparkan beberapa elemen reka bentuk agresif. Walaupun pengeluar automotif Itali itu masih merahsiakan identiti sebenar model berkenaan, ramai menjangkakan ia merupakan evolusi terbaharu Urus yang memberi fokus kepada prestasi lebih ekstrem.

Berdasarkan imej yang dikongsikan, model tersebut menampilkan spoiler belakang bersaiz besar dengan rekaan dua tingkat (double-deck rear spoiler), selain kit aerodinamik yang kelihatan lebih agresif berbanding Urus SE.

Perubahan itu memberi bayangan bahawa Lamborghini bukan sekadar melakukan kemas kini kosmetik, sebaliknya membangunkan sebuah SUV berorientasikan prestasi yang lebih serius. Walaupun setakat ini Lamborghini masih belum mendedahkan spesifikasi rasmi, namun beberapa laporan antarabangsa mendakwa model berkenaan berpotensi menghasilkan kuasa melebihi 800 hp.

Jika angka 800hp menjadi kenyataan, model ini akan menjadi Urus paling berkuasa pernah dihasilkan, sekali gus mengatasi model Urus Performante dan menyamai atau mungkin mengatasi output sistem hibrid plug-in yang digunakan pada Urus SE.

Selain peningkatan kuasa, model baharu ini turut dikatakan mampu mencapai kelajuan maksimum melebihi 320 km/j, meletakkannya dalam kelompok SUV produksi terpantas di dunia. Rekaan aerodinamik yang lebih agresif juga mencetuskan spekulasi bahawa Lamborghini mungkin menyasarkan rekod baharu di litar Nürburgring bagi kategori SUV produksi bagi mengalahkan semua SUV China yang ketika ini membuat beberapa rekod baru di litar ini

Ramai menjangkakan model ini dibangunkan berasaskan Urus SE yang diperkenalkan sebelum ini. Urus SE menggunakan enjin 4.0 liter V8 twin-turbo yang digandingkan dengan motor elektrik untuk menghasilkan kuasa gabungan sekitar 800 CV, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 3.4 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 312 km/j.

Buat masa ini, Lamborghini masih belum mengesahkan nama rasmi, spesifikasi penuh mahupun kedudukan model tersebut dalam barisan Urus. Segala persoalan dijangka terjawab apabila model berkenaan membuat penampilan sulung secara rasmi pada 1 Julai nanti.

Google ads
Back to top button