Buletin

HYUNDAI SEDAN ELEKTRIK BAHARU SEDIA TAWAN PASARAN CHINA

Hyundai terus mengukuhkan kehadirannya dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) di China, dan kali ini tumpuan diberikan kepada sebuah sedan serba baharu.

Model baharu berkenaan dilaporkan sedang dirangka untuk menyaingi model popular seperti Tesla Model 3, Xiaomi SU7 dan BYD Qin Plus.

Langkah ini hadir tidak lama selepas pelancaran SUV elektrik Elexio hasil kerjasama dengan BAIC. Walaupun maklumat rasmi masih terhad tanpa sebarang imej mahupun teaser, laporan awal menjangkakan sedan ini akan menampilkan rekaan tersendiri, berbeza daripada model global Hyundai yang lain.

Melihat kepada gaya Elexio yang agak unik, sedan baharu ini mungkin turut mengikut jejak dengan identiti visual tersendiri dan tidak semestinya menyerupai Ioniq 6 yang menerima pelbagai reaksi.

Dari sudut teknikal, sedan tersebut dijangka menggunakan platform E-GMP, sama seperti Elexio serta model EV lain di bawah Hyundai, Genesis dan Kia.

Ini membolehkan ia ditawarkan dalam versi pacuan tunggal atau dwi-motor, dengan pilihan pek bateri berbeza bagi memenuhi keperluan pengguna.

Bahagian dalaman pula berkemungkinan besar akan dipengaruhi oleh konsep Elexio, termasuk paparan digital minimalis yang diletakkan rendah berhampiran cermin hadapan, selain skrin lebar, menggabungkan fungsi infotainmen utama serta paparan untuk penumpang.

Menurut laporan media automotif, sedan elektrik Hyundai khusus untuk pasaran China ini dijadualkan membuat kemunculan rasmi pada separuh pertama tahun 2026.

Google ads
Back to top button