Buletin

CHATGPT JADI DETEKTIF, LAMBORGHINI HURACAN EVO HILANG DITEMUI DI COLORADO

Kes kecurian kenderaan mewah sering kali menjadi cabaran besar kepada pihak berkuasa di seluruh dunia.

Namun, seorang lelaki di Amerika Syarikat berjaya melakukan sesuatu luar biasa, menggunakan kecerdasan buatan untuk menjejak kembali keretanya yang hilang.

Lebih mengejutkan, kereta itu ialah Lamborghini Huracan EVO yang dilaporkan dicuri dua tahun lalu.

Pemiliknya, Andrew Garcia dari Orange County, California, menyangka keretanya sudah lenyap selama-lamanya selepas disyaki dicuri bersama beberapa lagi supercar lain dalam sindiket kecurian bernilai jutaan dolar.

Sindiket itu dipercayai menyewa hampir dua dozen kereta mewah tetapi tidak pernah memulangkannya, sebaliknya memanipulasi dokumen untuk menukar hak milik sebelum menjual semula kenderaan berkenaan.

Walaupun beberapa mangsa lain berjaya mendapatkan kembali kenderaan mereka, Lamborghini milik Garcia terus hilang tanpa jejak sehinggalah dia menerima mesej pelik melalui Instagram.

“Adakah anda jual kereta ini?” tanya pengirim, sambil menyertakan gambar terbaharu kereta tersebut.

Individu itu dikatakan menemui kad perniagaan Garcia di dalam kereta berkenaan lalu menghubunginya, menyangka Garcia masih mempunyai akses kepada supercar lain.

Garcia tidak terus menyerahkan maklumat itu kepada pihak polis, sebaliknya bertindak sebagai penyiasat sendiri.

Dia menggunakan ChatGPT untuk menganalisis gambar yang diterima, kemudian memadankannya dengan alat lokasi Google.

Hasilnya, dia berjaya mengesan kedudukan kereta tersebut di Denver, Colorado sebelum menghubungi polis. Pihak berkuasa tempatan segera mengesahkan bahawa kenderaan itu sememangnya miliknya.

Jurucakap Colorado Auto Theft Prevention Authority, Cale Gould, memuji pendekatan tidak konvensional itu.

“Pengumpulan maklumat secara proaktif sebegini benar-benar membantu dalam usaha mengesan semula kenderaan yang dicuri.”

Siasatan kini diteruskan bagi mengenal pasti individu yang ditemui bersama kereta itu di Colorado, sama ada mereka terlibat secara langsung dalam kecurian atau sebaliknya.

Google ads
Back to top button