Artikel Pilihan

BRIDGESTONE JADI PEMBEKAL TAYAR FORMULA E MUSIM 2026/2027

Bridgestone Corporation secara rasmi mengumumkan kemasukannya sebagai pembekal tayar tunggal bagi Kejuaraan Dunia ABB FIA Formula E bermula musim 2026/27. Pengumuman itu dibuat menerusi acara Bridgestone Formula E World Premiere yang berlangsung di Rome, Itali pada 30 September 2026.

Kerjasama ini hadir seiring pengenalan jentera Formula E generasi GEN4 yang menetapkan penanda aras baharu dari segi prestasi, kelajuan dan teknologi. Jentera berkenaan mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 1.8 saat, mempunyai kelajuan maksimum 335 km/j serta kuasa puncak 600 kW atau 815 bhp. Ia turut menggunakan sistem pacuan semua roda aktif secara kekal dan menghasilkan tahap tork yang tinggi.

Bagi memenuhi tuntutan prestasi GEN4, Bridgestone membangunkan tayar perlumbaan POTENZA GEN4. Tayar ini direka untuk menawarkan tahap cengkaman tinggi bagi memaksimumkan prestasi jentera, selain mempunyai tahap kebolehsuaian terhadap pelbagai keadaan jalan dan cuaca serta ketahanan yang membolehkan prestasinya dikekalkan dari awal sehingga tamat perlumbaan.

Bridgestone turut memperkenalkan POTENZA GEN4 for TYPHOON TYRE, iaitu tayar khusus untuk keadaan hujan lebat. Tayar tersebut direka bagi memberikan cengkaman dan kestabilan ketika permukaan litar mempunyai jumlah air yang tinggi, membolehkan perlumbaan diteruskan dalam keadaan cuaca yang mencabar. 

Aspek kemampanan turut menjadi antara fokus utama pembangunan tayar GEN4. Menurut Bridgestone, tayar tersebut mempunyai 65 peratus kandungan bahan kitar semula dan boleh diperbaharui. Antara bahan yang digunakan termasuk karbon hitam yang diperoleh daripada minyak pirolisis tayar terpakai serta silika yang dihasilkan daripada sekam padi.

Dalam proses pengeluaran pula, Bridgestone menggunakan 100 peratus tenaga boleh diperbaharui bagi keperluan haba dan elektrik. Syarikat itu turut mengurangkan pelepasan karbon melalui penggunaan kaedah pengangkutan rendah karbon bagi proses logistik serta meneruskan usaha kitar semula kimia tayar terpakai bersama rakan strategik. 2026100101-E-Bridgestone Formul…

Menurut Bridgestone, penyertaan dalam Formula E turut menjadi sebahagian daripada usaha menggunakan perlumbaan sebagai “makmal bergerak” untuk menguji dan membangunkan teknologi tayar. Pengalaman serta teknologi yang diperoleh daripada dunia perlumbaan kemudiannya boleh menyumbang kepada pembangunan tayar untuk kegunaan pengguna dan kenderaan komersial. 

Formula E sendiri merupakan kejuaraan sukan permotoran elektrik sepenuhnya yang dikawal selia oleh FIA. Sejak diperkenalkan pada 2014, perlumbaan Formula E bukan sahaja berlangsung di litar antarabangsa, malah turut menggunakan litar jalan raya di bandar-bandar utama dunia. Kejuaraan ini kini mempunyai lebih 400 juta peminat di seluruh dunia. 

Untuk musim 2026/27, Bridgestone akan membekalkan tayar bagi semua perlumbaan selain menjadi penaja utama bagi beberapa pusingan terpilih. Antaranya ialah perlumbaan di Mexico City pada 16 Januari 2027, Berlin pada 8 dan 9 Mei, Shanghai pada 10 dan 11 Julai, serta pusingan penutup musim di Tokyo pada 24 dan 25 Julai 2027. Musim 2026/27 dijadualkan bermula pada Disember 2026 dan merangkumi 21 perlumbaan sehingga Julai 2027. 

Kemasukan Bridgestone ke Formula E menandakan satu lagi langkah penting bagi syarikat itu dalam menggabungkan pembangunan prestasi tinggi dengan teknologi kemampanan, khususnya ketika sukan permotoran elektrik memasuki era GEN4. Tayar POTENZA GEN4 yang diperkenalkan di Rome menjadi antara komponen penting dalam usaha menyokong prestasi jentera baharu Formula E tersebut. 

Google ads
Back to top button