Buletin

BRZ STI SPORT TYPE RA ‘RACUN’ BAHARU SUBARU – HARGA BERMULA RM156K, TERHAD 300 UNIT SAHAJA!

Walaupun generasi terkini Subaru BRZ sudah menghampiri setengah dekad di pasaran, jenama itu terus mencari ruang untuk menyuntik pembaharuan pada coupe sport mereka.

Terbaru, Subaru memperkenalkan BRZ STI Sport Type RA, edisi istimewa yang hanya ditawarkan di Jepun dan seperti biasa, kuantiti terhad menjadikannya rebutan peminat tegar.

Model ini bukan sebuah STI sebenar, namun pakej naik tarafnya jauh lebih serius berbanding BRZ standard.

Enjin masih menggunakan unit 2.4 liter NA empat silinder, tetapi kini hadir dalam versi yang diinspirasikan daripada jentera perlumbaan BRZ CNF yang menyertai siri Super Taikyu sejak 2022.

Subaru menjelaskan bahawa komponen dalaman seperti piston, conrod dan crankshaft diperhalusi dengan toleransi lebih ketat bagi mencapai imbangan putaran yang lebih tepat.

Hasilnya ialah karakter enjin yang lebih licin, responsif dan bergetaran rendah, seakan-akan jentera litar sebenar.

Naik taraf lain turut membawa BRZ ini lebih dekat kepada spesifikasi lumba. Subaru memasang rim BBS 18-inci dalam pilihan matte bronze atau kelabu, bersama penyerap hentak ZF serta brek Brembo dengan angkup berwarna emas. Perumah diferensial belakang kini hadir dengan sirip penyejukan, ciri yang diambil terus daripada kereta perlumbaan.

Bahagian aerodinamik dan pengendalian dipertingkat melalui komponen Subaru Tecnica International (STI) seperti spoiler bawah hadapan dan belakang, bar anti-oleng, sistem ekzos baharu serta draw stiffener untuk mengurangkan lenturan casis.

Namun tarikan utama sudah tentu sayap belakang gentian karbon bersaiz besar, yang mengubah rupa BRZ menjadi jauh lebih agresif. Perincian kecil seperti plak enjin khas, pemegang pintu berwarna hitam dan jahitan merah pada kerusi fabrik menambah sentuhan unik pada kabin.

Edisi khas ini hanya dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan, lengkap dengan fungsi shift assist yang membolehkan turun gear dengan rev-match serta naik gear tanpa perlu melepaskan pedal minyak.

Harga bermula dari 4,972,000 yen (kira-kira RM156,000) untuk versi tanpa sayap karbon, manakala pilihan dengan sayap besar tersebut mencecah 5,478,000 yen (anggaran RM171,000).

Tetapi wang bukan satu-satunya halangan kerana Subaru hanya menghasilkan 300 unit, dan pembeli perlu menyertai cabutan khas untuk mendapat peluang memilikinya.

Permohonan sudah dibuka sehingga 30 November, dan Subaru bakal mempamerkan BRZ versi panas ini hujung minggu ini di Fuji Speedway bersempena pusingan akhir Super Taikyu Series.

Google ads
Back to top button