
BARISAN PEMANDU UNTUK PASUKAN TOYOTA GAZOO RACING WRC 2026 DIUMUM DENGAN OLIVER SOLBERG MASUK GANTIKAN KALLE ROVANPERA
Pasukan dan penyandang pemenang bagi kategori Pengeluar Toyota Gazoo Racing tampaknya cukup bersedia untuk bersaing bagi pentas FIA World Rally Championship (WRC) musim 2026 apabila telah mengumumkan senarai barisan pemandu utama.
Walau pun mungkin sedikit sedih atas berita Kalle Rovanpera yang ingin mengundurkan diri dari sukan rali tahun hadapan namun itu bukanlah sebab utama pasukan Toyota Gazoo Racing berduka. Melihatkan senarai barisan pemandu mereka musim hadapan, rasanya tiada masalah untuk mengekalkan tahta Pengeluar buat sekian kalinya tanpa masalah.

Sebastian Ogier tampaknya masih kekal untuk bersama memandu jentera Toyota GR Yaris Rally1 bagi WRC musim 2026 walau pun masih lagi tampil untuk secara sambilan sahaja dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Walau pun hanya beraksi secara sambilan, namun bisa yang dimiliki Sebastien Ogier tidak boleh dipandang ringan. Malah musim ini beliau masih lagi bersaing untuk merebut tahta kejuaraan WRC buat kali kesembilan.
Elfyn Evans pula sekali lagi dikekalkan memandangkan beliau juga kelihatan agak konsisten dalam kempen WRC beberapa tahun kebelakangan ini. Tahun sudah Elfyn Evans hampir – hampir muncul juara WRC sebelum tewas kepada Thierry Neuville. Dan tahun ini beliau masih lagi bersaing rapat bersama Sebastien Ogier untuk merebut tahta WRC.

Takamoto Katsuta juga masih lagi dikekalkan memandangkan beliau adalah produk kelahiran daripada program pembangunan yang dibuat sendiri oleh Toyota Gazoo Racing. Walau pun ada yang berkata beliau adalah produk tuan rumah sendiri, namun prestasi yang baik dipamerkan pemuda Jepun musim ini masih lagi dilihat baik, cuma kadangkala rezeki masih lagi tidak berpihak kepada beliau untuk muncul juara.
Sami Pajari yang dinaikkan pangkat untuk beraksi dalam kelas utama musim ini setelah muncul juara WRC2 musim lalu juga dikekalkan bagi WRC 2026 untuk beraksi secara sepenuh masa. Aksi terbaik beliau musim ini adalah ketika mendapatkan podium terakhir ketika aksi di FORUM8 Rally Japan cukup untuk mengesahkan tempat beliau dalam kerusi pemandu untuk Toyota Gazoo Racing.

Dan akhir sekali mengisi kekosongan yang ditinggalkan Kalle Rovanpera sudah tentu pemandu muda pilihan masyarakat, Oliver Solberg. Ternyata aksi beliau musim ini dilihat lebih matang dan menyakinkan apabila berjaya mempamerkan pemanduan yang konsisten dalam aksi WRC2 musim ini sehingga membolehkan beliau bergelar juara WRC2 2026 tanpa masalah.
Malah ketika diberikan peluang untuk beraksi dalam kelas utama WRC di Rally Finland, Oliver membalas kepercayaan tersebut untuk mendominasi dan menang buat pertama kali dalam kelas utama.
BACA : WRC 2025 – SAMI PAJARI ANTARA BARISAN PEMANDU TOYOTA GAZOO RACING MUSIM WRC 2025
BACA : WRC2 – AKHIRNYA TAHTA WRC2 MENJADI MILIK OLIVER SOLBERG DI CHILE

