
BUDI95 DIRAMAL STABILKAN PERMINTAAN KERETA, TANGGUH PERALIHAN PENGGUNA KEPADA EV
Subsidi bersasar RON95 (BUD195) yang akan berkuat kuasa pada 30 September ini diramal menstabilkan permintaan kereta dan menangguhkan sebarang peralihan besar ke arah kenderaan elektrik (EV), menurut penganalisis.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, BUDI95 pada asasnya mengekalkan status quo kepada pengguna jalan raya, dengan impak yang minimum terhadap jumlah keseluruhan industri (TIV).
“Menurut kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), lebih 99% pemilik kenderaan persendirian menggunakan kurang daripada 300 liter petrol sebulan, kekal dalam kuota subsidi,” katanya dalam satu nota kajian.
Menerusi skim itu, semua rakyat Malaysia yang memiliki lesen memandu sah dan MyKad layak mendapat subsidi sehingga 300 liter petrol sebulan pada harga RM1.99 seliter, atau RM597.

Pemandu e-hailing akan menerima kuota lebih tinggi, manakala warga asing dan syarikat perlu membayar harga pasaran sebanyak RM2.60 seliter.
“Oleh itu, program ini tidak mungkin mendorong peralihan ketara ke arah EV atau kenderaan cekap tenaga dalam jangka masa terdekat,” tambah HLIB.
Namun, pengguna intensif seperti pengembara jarak jauh, pemain logistik dan pemilik kereta premium akan berdepan kos bahan api lebih tinggi di luar had kuota, yang secara beransur-ansur boleh menggalakkan peralihan ke arah kereta lebih jimat minyak, hibrid dan EV, menurut CIMB Securities.
“Bagi pengeluar kereta, dasar ini memberi kestabilan permintaan dalam jangka pendek tetapi boleh mempercepatkan peralihan struktur dalam penawaran produk ke arah kecekapan dan elektrifikasi.
“Trend ini akan menguntungkan jenama yang sudah memperluaskan penawaran mobiliti hijau,” katanya.
Selain subsidi BUD195, penangguhan pelaksanaan peraturan baharu duti eksais juga akan membantu mengekalkan permintaan kenderaan tahun ini, dengan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dijangka menjadi penerima manfaat terbesar, menurut Kenanga Research.
“Kami menjangka Perodua mendapat manfaat paling besar dengan 44% pegangan pasaran TIV, pelancaran model baharu yang menarik, pendapatan isi rumah lebih tinggi serta pasaran buruh yang stabil,” katanya.
Ketiga-tiga firma penyelidikan mengekalkan saranan “neutral” terhadap sektor automotif, sambil mengekalkan unjuran TIV penuh tahun 2025 hampir tidak berubah – HLIB mengunjurkan 770,000 unit, CIMB Securities 760,000 unit dan Kenanga Research dengan 805,000 unit.
Sementara itu, MBM Resources Berhad muncul sebagai pilihan utama kerana merupakan pengedar terbesar Perodua.
HLIB dan CIMB Securities turut memilih Sime Darby Berhad kerana kepelbagaian pendapatan dan portfolio EV yang berkembang, manakala Kenanga Research lebih cenderung kepada Hong Leong Industries Berhad susulan dominasi Yamaha dalam pasaran motosikal.
Bagaimanapun, CIMB Securities menurunkan saranan ke atas Bermaz Auto Bhd kepada “kurang” berikutan jualan Mazda yang lebih lemah.- DagangNews.com