
AUDI E5 SPORTBACK MULA DITAWARKAN DI CHINA – JARAK 773KM, SKRIN LED 59-INCI, HARGA BERMULA RM153K
AUDI telah memulakan pra-jualan model terbaharunya, E5 Sportback, di pasaran China.
Model ini dibangunkan bersama SAIC dan tampil dengan ciri moden termasuk sistem pemanduan bantuan daripada Momenta serta skrin LED sepanjang 59-inci yang merentasi papan pemuka.
Kereta elektrik ini hadir dalam empat varian dengan pilihan pacuan roda belakang (RWD) dan pacuan semua roda (AWD).
Harga rasmi bermula dari 235,900 yuan (sekitar RM153,000) hingga 319,900 yuan (sekitar RM207,000).

E5 dibina di atas platform Advanced Digitised Platform (ADP) dengan seni bina 800V, membolehkan pengecasan pantas hanya 10 minit untuk menambah jarak 370km.
Menariknya, AUDI di China diperkenalkan sebagai jenama baharu di bawah Volkswagen Group, tidak menggunakan logo empat gelang tradisional. Strategi ini adalah sebahagian daripada inisiatif “in China, for China”, menekankan identiti yang lebih khusus untuk pasaran tempatan.
Dari segi dimensi, E5 Sportback berukuran 4,881mm panjang, 1,960mm lebar dan 1,479mm tinggi, dengan jarak roda 2,950mm.

Bahagian kabin menjadi tarikan utama dengan skrin LED raksasa 59-inci merentasi papan pemuka, menggunakan sistem operasi AUDI OS berasaskan cip kokpit Qualcomm Snapdragon 8295.
Ia turut dilengkapi pembantu maya Doubao, hasil pembangunan ByteDance (syarikat induk TikTok), yang menyokong kawalan suara serta pemahaman semantik lanjutan.
Varian asas Pioneer menggunakan motor tunggal pacuan roda belakang bersama pek bateri LFP 76kWh daripada usaha sama SAIC-CATL, menawarkan jarak 618km (CLTC) dan kuasa maksimum 220kW. Pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam 6.1 saat.

Varian tertinggi Flagship Quattro pula dilengkapi dua motor elektrik 200kW di gandar hadapan dan 379kW di gandar belakang dengan gabungan kuasa sehingga 579kW (776 hp). Model ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam hanya 3.4 saat.
Ia menggunakan bateri NMC 100 kWh daripada CATL yang membolehkan jarak 647km (CLTC).
Dari segi teknologi keselamatan, E5 dipasang dengan 27 sensor termasuk satu lidar daripada Hesai, tiga radar gelombang milimeter, 12 radar ultrasonik, dan 11 kamera, yang kesemuanya diproses melalui cip Nvidia Orin X untuk sistem bantuan pemandu canggih (ADAS) Momenta.







