
SKUTER EV SOLOERA SOLO 1C DILANCARKAN – HANYA RM599 DENGAN REBAT MARIICAS
Jenama motosikal EV, Blueshark, menerusi sub-brand SoloEra dengan rasminya melancarkan skuter elektrik terbaru menerusi Solo 1C.
Menariknya, dari 15 Julai hingga 16 September ini, pelanggan Mesra Rewards dan Setel boleh mendapatkan Solo 1C tersebut dengan harga hanya RM599 sahaja (sempena stok masih ada).

Promosi pra-pelancaran itu direalisasikan menerusi rebat MARiiCas bernilai RM2,400. Orang ramai yang berminat boleh membuat pra-tempahan menerusi laman web MyMesra dan aplikasi Setel. Kempen terhad untuk 500 pembeli pertama sahaja.
Untuk melayakkan diri untuk menikmati rebat MARiiCas, pelanggan terlebih dahulu perlu berumur 18 tahun ke atas dan memiliki lesen B2. Pada masa sama, pelanggan juga perlu komited dengan perjanjian sewa bateri bernilai RM59 sebulan dan pek connectivity RM10 sebulan bagi tempoh lima tahun.
Dalam pada itu, pembeli juga perlu membayar deposit sekuriti sebanyak RM278 untuk pengecas bateri, bateri dan modul connectivity. Bayaran sewa bateri bulan pertama juga termasuk dalam deposit sekuriti berkenaan.

Atas kertas, Solo 1C mampu mencapai kelajuan sehingga 75km/j dan boleh bergerak sejauh 101km dengan cas penuh.
Motosikal EV ini hadir dengan empat mod menunggang termasuk mod Motor Assist. Selain itu, model ini turut dilengkapi dengan sistem anti-theft, smart key dan fungsi Find My Vehicle.

Menurut Blueshark, Solo 1C hadir dengan tiga warna; Nebula Green, Nova Orange dan Lunar White. Motosikal ini dipasang sepenuhnya oleh EP Manufacturing Berhad (EPMB) di Glenmarie.







