
PMX RASMI KILANG EV PERTAMA PROTON DI AHTV TANJUNG MALIM
Satu lagi lembaran baharu tercipta dalam industri automotif negara apabila Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, merasmikan kilang pemasangan eksklusif pertama PROTON untuk kenderaan elektrik (EV) di Automotive High Tech Valley (AHTV), Tanjung Malim.
Kilang berteknologi tinggi ini memulakan operasi hanya tujuh bulan selepas majlis pecah tanah yang berlangsung pada 7 Februari lalu. Dengan pelaburan keseluruhan bernilai RM82 juta, fasa pertama yang dilancarkan kini melibatkan kos RM47 juta.
Menariknya, Proton e.MAS 7 – model EV pertama Malaysia yang dilancarkan pada Disember tahun lalu akan menjadi model CKD (pemasangan tempatan) pertama di kilang baharu ini. Ia akan disusuli oleh Proton e.MAS 5, EV kompak yang dijangka dilancar pada suku keempat tahun ini.

Dalam ucapan perasmiannya, Perdana Menteri menegaskan bahawa projek ini bukan sekadar pelaburan, tetapi manifestasi komitmen Malaysia terhadap mobiliti hijau dan teknologi masa depan.
Kapasiti Besar, Teknologi Canggih
Terletak di tapak seluas 5.57 ekar, kilang ini mempunyai kapasiti pengeluaran awal 20,000 unit setahun, dengan potensi untuk meningkat sehingga 45,000 unit setahun.
Kilang ini menggabungkan automasi canggih bersama kepakaran operator tempatan yang dilatih oleh pakar teknikal dari Geely. Antara kemudahan utama termasuklah:
- Barisan casis penggerak tayar
- Barisan sub-pemasangan belakang
- Mesin pemampat spring belakang
- Barisan sub-pemasangan palet
- Sistem penghantar barisan akhir yang bersepadu

Selain itu, kawalan kualiti diperkemas melalui sistem pemeriksaan peranti elektrik EV, peralatan pengisian cecair dan mesin ukiran nombor casis.
Pada peringkat awal, 30 pekerja tempatan telah dilatih sepenuhnya dan menjelang operasi penuh, kilang ini akan menyediakan lebih 200 peluang pekerjaan baharu, khusus dalam bidang industri EV serta perkhidmatan teknikal.

Hub Logistik Rel untuk AHTV
Dalam majlis yang sama, AHTV Alliance Sdn Bhd (AASB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi menjalankan kajian kebolehlaksanaan pembinaan hab logistik kargo rel ke AHTV.
Hab ini akan meningkatkan kecekapan pergerakan kontena masuk dan keluar AHTV menggunakan pengangkutan rel, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada jalan raya. Langkah ini selaras dengan strategi pengangkutan lestari yang diterajui oleh Kementerian Pengangkutan.
Projek AHTV yang diiktiraf di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 adalah projek berimpak tinggi yang bakal menjadikan Malaysia hab kenderaan tenaga baharu dan kenderaan generasi akan datang, melalui pelaburan asing berskala besar.
GALERI










