Buletin

BYD ATTO 3 2026 DEBUT 24 APRIL INI – HADIR DENGAN JARAK RODA LEBIH PANJANG, FLASH CHARGING

Model baharu BYD Atto 3 generasi seterusnya bakal membuat kemunculan sulung di Beijing Auto Show 2026 pada 24 April, dengan beberapa peningkatan besar termasuk flash charging serta jarak roda yang lebih panjang.

Menurut pengumuman BYD di media sosial, model ini yang turut dikenali sebagai Yuan Plus di pasaran China, dianggap sebagai versi “generasi ketiga” oleh pengeluar berkenaan.

Sebelum ini, spesifikasi asasnya sudah pun muncul melalui dokumen kelulusan di China, sekali gus mendedahkan lebih awal beberapa butiran teknikal.

Walaupun imej rasmi pernah bocor melalui proses homologasi pihak berkuasa China (MIIT), BYD kini tampil dengan lakaran rasmi baharu.

Rekaan SUV elektrik kompak ini menampilkan bumbung dan tiang hitam, bahagian depan lebih tertutup dengan lampu nipis, serta rekaan lampu belakang jenis satu bar yang lebih moden.

Dari segi saiz, Atto 3 baharu ini membesar kepada 4,665mm panjang, 1,895mm lebar dan 1,675mm tinggi, dengan jarak roda 2,770mm, meningkat sekitar 50mm berbanding model sebelumnya. Ia juga menawarkan pilihan rim 18-inci dan 19-inci.

Untuk sistem kuasa, dua pilihan bateri LFP dari FinDreams ditawarkan. Varian asas menggunakan bateri 57.545kWh dengan motor elektrik 200 kW (268hp) di gandar belakang, mampu mencapai jarak sekitar 540km.

Versi lebih tinggi pula hadir dengan bateri 68.547kWh serta motor 240kW (322hp), dengan jarak pemanduan sehingga 630km.

Antara tarikan utama model ini ialah teknologi flash charging, yang membolehkan pengecasan dari 10 ke 70 peratus hanya dalam 5 minit, manakala 10 peratus ke hampir penuh (97 peratus) mengambil sekitar 9 minit sahaja. Dalam suhu ekstrem sehingga -30°C, masa pengecasan hanya meningkat sekitar 3 minit.

Bahagian dalaman turut menerima kemaskini, dengan stereng dua jejari, pemilihan gear pada kolum stereng, paparan digital instrumen, skrin infotainmen terapung bersaiz besar serta paparan head-up display.

Konsol tengah pula menempatkan pengecas tanpa wayar, pemegang cawan dan ruang simpanan tersembunyi.

Namun begitu, prestasi jualan Atto 3 di China menunjukkan penurunan sejak suku ketiga 2024 akibat persaingan sengit serta perubahan fokus produk BYD.

Pada suku pertama 2026 sahaja, hanya 10,675 unit terjual, merosot lebih 70 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Dengan kemaskini besar ini, BYD berharap model baharu Atto 3 mampu mengembalikan semula momentum jualan dalam segmen SUV elektrik kompak yang semakin kompetitif.

Google ads
Back to top button