
BYD ATTO 3 2026 RASMI DILANCARKAN – VARIAN ULTRA (FWD) DAN PREMIUM (RWD), HARGA MULA RM125K
BYD Malaysia secara rasmi melancarkan BYD Atto 3 2026 untuk pasaran tempatan dengan pelbagai penambahbaikan menyeluruh merangkumi prestasi, reka bentuk, teknologi dan keselesaan kabin.
SUV elektrik popular itu kini tampil lebih matang dan premium, selain memperkenalkan buat pertama kali varian pacuan roda belakang (RWD) bagi pasaran Malaysia.
Model baharu ini ditawarkan dalam dua pilihan iaitu Ultra pada harga RM125,800 dan Premium pada RM138,800.
Varian Ultra masih mengekalkan konfigurasi pacuan roda hadapan (FWD) dengan motor elektrik menghasilkan 150kW dan 310Nm. Ia dipadankan bersama bateri Blade LFP 60.48kWh yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 480km (NEDC).

Pecutan 0-100 km/j mengambil masa 7.3 saat dengan sokongan pengecasan pantas DC sehingga 110 kW.
Varian Premium pula membawa perubahan lebih besar menerusi penggunaan sistem pacuan roda belakang (RWD).
Motor elektriknya menghasilkan 230kW dan 380Nm, sekali gus membolehkan SUV ini memecut dari 0-100km/j dalam hanya 5.5 saat.
Ia turut menggunakan bateri Blade LFP lebih besar berkapasiti 74.88kWh dengan jarak pemanduan sehingga 600km (NEDC), selain menyokong pengecasan DC ultra pantas sehingga 220 kW dan AC 11 kW.
Dari sudut rekaan, Atto 3 versi 2026 menerima beberapa sentuhan baharu bagi memberikan penampilan lebih segar.

Bahagian sisi tampil dengan rekaan rim baharu untuk varian Premium bersama kemasan lower side trim yang direka semula. Kedua-dua varian menggunakan rim 18-inci.
Di belakang, BYD memperkenalkan lampu belakang baharu dengan grafik pencahayaan lebih moden, spoiler belakang yang dikemas kini serta bampar belakang baharu, sekaligus memberikan imej lebih sporty.
Perubahan ini mungkin tidak terlalu radikal, namun cukup untuk menjadikan Atto 3 kelihatan lebih sofistikated berbanding model terdahulu.
Ruang dalaman turut menerima pelbagai naik taraf praktikal dan premium. Antara ciri baharu yang diperkenalkan termasuk paparan instrumen digital 8.8-inci, skrin tengah 15.6-inci, ambient light, column shifter serta pengecas telefon tanpa wayar 50W lengkap dengan sistem penyejukan.
BYD juga kini menawarkan kerusi hadapan berventilasi sebagai ciri standard untuk kedua-dua varian.

Tempat duduk pemandu menerima pelarasan kuasa enam hala, manakala varian Premium ditambah sokongan lumbar empat hala. Untuk penumpang hadapan, Ultra mendapat pelarasan kuasa empat hala sementara Premium menerima pelarasan kuasa enam hala.
Selain itu, model ini turut dilengkapi pemegang cermin mata (sunglass holder) serta rekaan tempat duduk baharu dengan perehat kepala berasingan yang memberikan suasana kabin lebih moden.
Satu lagi ciri menarik pada Atto 3 baharu ialah fungsi NFC Phone Key yang membolehkan pengguna membuka dan menghidupkan kenderaan menggunakan telefon pintar tanpa perlu membawa kunci fizikal.
Menurut BYD, sistem itu masih boleh digunakan walaupun bateri telefon kehabisan kuasa, sekali gus memberikan lebih kemudahan kepada pengguna.

Keselesaan dipertingkatkan pula dengan menggunakan sistem suspensi MacPherson bersama Multi-Link untuk varian Ultra, manakala Premium menerima tetapan lebih canggih iaitu MacPherson dengan Dual-ball Joint serta Multi-Link lima pautan.
Dari segi praktikaliti, Ultra menawarkan ruang kargo 434 liter yang boleh diperluaskan sehingga 1,340 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.
Premium pula hadir dengan kapasiti lebih besar iaitu 490 liter hingga 1,360 liter, selain ruang simpanan hadapan (frunk) berkapasiti 101 liter.
Untuk keselamatan, Ultra dilengkapi enam beg udara bersama sistem ADAS standard, sementara Premium menerima tujuh beg udara dan pakej Enhanced ADAS.
BYD Malaysia turut menawarkan pakej waranti komprehensif merangkumi:
- Waranti kenderaan selama enam tahun atau 150,000km
- Waranti unit pemacu selama lapan tahun atau 160,000km
- Waranti bateri Blade voltan tinggi selama lapan tahun atau 160,000km
Bersempena pelancaran, pelanggan turut menerima pakej eksklusif bernilai sehingga RM14,000.
Ia termasuk program early bird overtrade bernilai sehingga RM10,000 untuk 500 pelanggan pertama, selain pilihan wall charger bersama pemasangan standard atau pakej servis standard selama enam tahun.
GALERI:



























