Buletin

BYD ATTO 3 2026 CATAT 1,000 TEMPAHAN DALAM 10 HARI

BYD Sime Motors terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) tempatan apabila model baharu 2026 BYD ATTO 3 berjaya mencatat lebih 1,000 tempahan hanya dalam tempoh 10 hari selepas pelancarannya di Malaysia.

Pencapaian itu sekali lagi mengulangi kejayaan yang pernah direkodkan ketika model sama diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 2022, sekali gus membuktikan daya tarikan BYD ATTO 3 masih kukuh dalam kalangan pengguna tempatan.

Model berkenaan diperkenalkan sempena Sime Motors MotorExpo 2026, dengan Malaysia menjadi negara pertama di rantau Asia Pasifik yang menerima pelancaran rasmi versi 2026 tersebut.

Menggunakan slogan “Faster, Further, Smarter”, model terkini itu tampil dengan pelbagai penambahbaikan termasuk sistem pacuan roda belakang (RWD) bagi varian premium, pecutan 0 hingga 100 km/j dalam masa 5.5 saat, keupayaan pengecasan pantas sehingga 220kW serta jarak perjalanan mencecah 600 kilometer.

Selain prestasi, model itu turut diberikan peningkatan dari segi ciri keselamatan dan teknologi pintar bagi memenuhi keperluan pemanduan harian pengguna moden.

Sambutan awal yang memberangsangkan itu turut mencerminkan peningkatan minat rakyat Malaysia terhadap penggunaan EV, khususnya model yang menawarkan gabungan praktikaliti, inovasi dan nilai pemilikan yang kompetitif.

Setakat ini, BYD ATTO 3 kekal sebagai model EV paling laris di Malaysia dengan lebih 12,000 unit telah diserahkan kepada pelanggan sejak ia diperkenalkan, sekali gus membantu mengukuhkan kedudukan BYD sebagai jenama EV utama negara.

Bagi meraikan pencapaian tersebut, BYD Sime Motors turut mengadakan majlis khas di pusat pameran BYD Bandar Utama semalam bagi menyambut pelanggan ke-1,000 model berkenaan.

Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma berkata, sambutan diterima menunjukkan pengguna kini semakin menitikberatkan aspek teknologi, kemudahan dan kepraktisan dalam pemilihan kenderaan.

Menurutnya, 2026 BYD ATTO 3 direka untuk memenuhi keperluan itu melalui gabungan prestasi, teknologi pintar dan pengalaman pemanduan yang lebih baik.

Sementara itu, Pengarah Urusan Sime Motors bagi Bahagian Peruncitan dan Pengedaran Malaysia, Vi Thim Juan berkata, pihaknya optimis momentum positif tersebut akan terus berkembang seiring peningkatan penerimaan EV dalam pasaran tempatan.

Beliau turut menggalakkan orang ramai mengunjungi bilik pameran rasmi BYD di seluruh negara bagi melihat sendiri kelebihan yang ditawarkan model berkenaan.

Ketika ini, BYD Sime Motors mempunyai rangkaian kukuh merangkumi 44 pusat jualan dan pemasaran, 25 pusat selepas jualan serta 12 pusat badan dan cat di seluruh negara.

Rangkaian itu disokong tenaga kerja teknikal bertauliah selain kadar ketersediaan alat ganti mencecah 95 peratus, sekali gus membantu meningkatkan pengalaman pemilikan pelanggan dan menyokong perkembangan mobiliti elektrik di Malaysia.

Google ads
Back to top button