
AUDI DEDAH MODEL NUVOLARI: 1,000 HP DENGAN TEKNOLOGI F1. 499 UNIT SAJA
Selepas penamatan pengeluaran Audi R8 pada tahun 2023, ramai peminat tertanya-tanya sama ada Audi masih berminat untuk terus bersaing dalam dunia supercar. Persoalan ini akhirnya terjawab menerusi kemunculan Audi Nuvolari, sebuah model yang dibangunkan sebagai kereta halo Audi dan direka untuk menunjukkan keupayaan teknologi tertinggi yang mampu ditawarkan oleh Audi pada masa ini.
Audi Nuvolari bukanlah pengganti langsung kepada R8. Sebaliknya ia dibangunkan sebagai sebuah supercar yang jauh lebih eksklusif, lebih berkuasa dan lebih canggih daripada mana-mana model prestasi Audi yang pernah dihasilkan sebelum ini.
Malah projek kereta konsep tersebut dilaporkan berjaya direalisasikan dalam tempoh hanya 440 hari, sesuatu yang dianggap luar biasa dalam industri automotif moden.
Nama Nuvolari diambil sempena Tazio Nuvolari, pelumba lagenda Itali yang pernah berlumba untuk Auto Union, iaitu syarikat yang menjadi asas kepada pembentukan Audi moden hari ini. Dengan menggunakan nama tersebut, Audi dilihat mahu menghubungkan model baharunya dengan sejarah perlumbaan yang panjang.

Audi Nuvolari menggunakan enjin V8 4.0 liter turbo berkembar yang mampu berputar sehingga 10,000 rpm, digabungkan dengan tiga motor elektrik jenis axial-flux. Gabungan teknologi pembakaran dalaman dan elektrik ini menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 987 hp, sekali gus menjadikan Nuvolari sebagai salah satu model paling berkuasa yang pernah membawa lencana Audi.
Sistem pacuan semua roda quattro digunakan bagi memastikan kuasa yang besar itu dapat disalurkan ke permukaan jalan dengan berkesan. Walaupun berkongsi asas teknologi dengan Lamborghini Temerario, Audi dikatakan telah melakukan penalaan tersendiri yang membolehkan Nuvolari menghasilkan lebih banyak kuasa berbanding model Lamborghini tersebut.
Dari segi prestasi Audi mendakwa Nuvolari mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa hanya 2.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum sekitar 349 km/j. Angka sebegini meletakkan Nuvolari dalam kelompok hypercar moden dan setanding dengan beberapa model paling ekstrem yang berada di pasaran hari ini.
Satu lagi aspek yang menjadikan Nuvolari begitu istimewa ialah penggunaan pelbagai teknologi yang diinspirasikan daripada program Formula 1 Audi. Antara teknologi yang diketengahkan termasuk sistem aerodinamik aktif, torque vectoring, predictive ride control dan sistem pengurusan tenaga yang menyerupai konsep penggunaan tenaga dalam perlumbaan F1.

Kesemua teknologi ini bertujuan untuk meningkatkan prestasi, kestabilan dan kecekapan ketika dipandu pada kelajuan tinggi. Bagi memastikan berat kenderaan dapat diminimumkan, Audi menggunakan badan karbon sepenuhnya pada Nuvolari.
Ini merupakan kali pertama sebuah model Audi menggunakan struktur badan karbon secara menyeluruh. Selain itu, kereta ini turut dilengkapi dengan rim forged jenis center-lock, spoiler belakang aktif serta saluran udara S-duct di bahagian hadapan.
Gabungan elemen aerodinamik tersebut membolehkan Nuvolari menghasilkan sehingga 400 kilogram daya tekan ke bawah atau downforce ketika dipandu pada kelajuan tinggi. Ini bukan sahaja membantu meningkatkan kestabilan, malah memberi keyakinan kepada pemandu ketika mengambil selekoh dengan agresif.
Dari segi eksklusiviti, Audi bercadang untuk menghasilkan model ini dalam 499 unit sahaja akan dibina untuk pasaran global, menjadikannya antara model Audi paling terhad pernah dikeluarkan. Harga permulaan pula dilaporkan sekitar £500,000, bersamaan kira-kira RM2.9 juta sebelum mengambil kira cukai dan kos import di sesetengah negara.

Dengan hampir 1,000 hp, teknologi hibrid canggih, aerodinamik aktif serta pengeluaran yang sangat terhad, Nuvolari menunjukkan bahawa Audi masih mempunyai cita-cita besar untuk bersaing dengan nama-nama seperti Ferrari, McLaren dan Lamborghini dalam kategori supercar dan hypercar paling eksklusif di dunia.








