
DAH KENAPA KEPALA LORI CATERING NI NAMPAK PELIK?
Kalau anda pernah melihat pergerakan di apron lapangan terbang, pasti pernah ternampak sebuah lori putih besar dengan logo syarikat pembekal makanan yang menghampiri pesawat. Dari jauh ia nampak seperti lori biasa, tetapi apabila diperhatikan dengan lebih dekat reka bentuk kepala / kabin memang agak pelik.
Bahagian kargo di belakang jauh lebih besar daripada kabin pemandu, manakala di atas bumbung kabin pula terdapat satu platform tambahan yang kelihatan seperti “tingkat kedua” atau platform. Manakala kabin sendiri pula duduk jauh di depan serta kelihatan agak cacat
Namun semua itu sebenarnya mempunyai tujuan yang sangat penting kearan lori ini dikenali sebagai aircraft catering high-loader, iaitu kenderaan khas yang digunakan untuk menghantar makanan, minuman, ais, peralatan dapur dan bekalan katering ke dalam pesawat.
Tidak sama seperti lori penghantaran biasa, kenderaan ini perlu beroperasi pada ketinggian beberapa tertentu dari permukaan landasan kerana pintu servis pesawat terletak jauh lebih tinggi berbanding pintu lori biasa.
Sebab itulah keseluruhan kotak kargo di belakang dibina sebagai sebuah platform yang boleh dinaikkan menggunakan sistem hidraulik. Ketika menghampiri pesawat, keseluruhan ruang penyimpanan makanan akan diangkat sehingga sama paras dengan pintu galley pesawat.
Selepas itu sebuah jambatan kecil akan disambungkan terus ke badan pesawat bagi membolehkan troli makanan ditolak masuk dengan selamat dengan menggunakan platform yang terbina. Inilah juga sebab mengapa kabin pemandu diletakkan lebih ke hadapan dan kelihatan agak rendah berbanding ruang kargo.

Jurutera perlu memastikan terdapat ruang yang mencukupi untuk mekanisme lif hidraulik beroperasi di tengah-tengah kenderaan. Jika reka bentuk lori dibuat seperti lori kotak biasa, sistem pengangkat itu akan menjadi jauh lebih rumit dan kurang praktikal.
Satu lagi ciri menarik ialah platform kecil di atas bumbung kabin. Ramai menyangka ia sekadar tempat berdiri, tetapi sebenarnya ia membantu kru mengawasi proses penyambungan dengan pintu pesawat. Ketika kotak kargo dinaikkan, kru boleh menggunakan kawasan tersebut untuk memantau jarak dan memastikan tiada bahagian kenderaan menyentuh badan pesawat yang bernilai ratusan juta ringgit.
Walaupun lori ini menggunakan casis trak komersial biasa seperti Isuzu, bahagian belakangnya sebenarnya merupakan sistem khas yang direka khusus untuk kegunaan lapangan terbang. Ia perlu cukup stabil untuk membawa beratus-ratus kilogram makanan dan minuman sambil diangkat beberapa meter ke udara tanpa menjejaskan keselamatan.
Apa yang lebih menarik ialah lori sebegini bukan hanya digunakan untuk menghantar makanan kepada penumpang. Ia juga membawa bekalan untuk kru kabin, minuman, ais, peralatan makan, troli katering serta pelbagai keperluan penerbangan yang lain.
Dalam penerbangan jarak jauh menggunakan pesawat badan lebar (wide body aircraft), jumlah bekalan makanan yang dibawa boleh mencecah beberapa tan bagi satu penerbangan sahaja. Jadi walaupun reka bentuknya kelihatan sedikit janggal dan pelik berbanding lori biasa di jalan raya, setiap sudut dan komponen pada lori katering lapangan terbang ini direka berdasarkan fungsi.
Dalam dunia penerbangan, keutamaan bukanlah rupa yang cantik, tetapi keupayaan untuk menghantar makanan ke pintu pesawat dengan cepat, tepat dan selamat. Jadi lori yang pada mulanya nampak pelik ini sebenarnya antara kenderaan paling menarik untuk diperhatikan ketika anda menunggu penerbangan di lapangan terbang



