
BYD M6 TIBA DI PASARAN MALAYSIA: DUA VARIAN, JARAK GERAK 530KM, HARGA RM109K
Sime Darby Motors, pengedar rasmi kenderaan BYD di Malaysia, hari ini memperkenalkan BYD M6, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) elektrik 7-tempat duduk.
Untuk pasaran tempatan, BYD M6 ditawarkan dalam dua varian iaitu Standard dan Extended.
MPV ini menonjol dengan konfigurasi 7-tempat duduk serba luas, menyediakan ruang kaki dan kepala yang selesa untuk semua penumpang.
Reka bentuk inovatifnya membolehkan susunan tempat duduk yang fleksibel dengan kerusi barisan kedua dan ketiga boleh dilipat rata, mengembang kapasiti ruang but daripada 580 liter kepada ruang lebih besar.

Dari segi rekaan luar, BYD M6 menampilkan gaya aerodinamik “Dragon Face” serta dilengkapi rim aloi 17-inci dan tayar bersaiz 225/55 R17.
Menjengah dalam kabin, MPV ini dilengkapi dengan skrin sentuh berputar 12.8-inci yang dikuasakan oleh Sistem Di-Link BYD, menggabungkan Apple CarPlay® dan Android Auto.
Penumpang di belakang turut dilengkapi dengan beberapa port pengecasan, selain menerima ciri mikrofon karaoke dan ciri ini boleh didapati sebagai aksesori pilihan.
MPV ini juga mempunyai keupayaan Vehicle-to-Load (V2L), menjadikannya sebuah ‘stesen janakuasa bergerak’ yang ideal untuk kegunaan luar seperti berkelah atau untuk pemilik ingin menjalankan perniagaan mudah alih tanpa perlu bergantung kepada penjana kuasa tambahan.

Lebih menarik, setiap soket dilengkapi dengan perlindungan daripada beban berlebihan untuk memastikan penggunaan yang selamat.
Ciri menarik lain termasuklah NFC Digital Key membolehkan pengguna mengunci, membuka kunci, dan menghidupkan kenderaan hanya dengan telefon pintar atau peranti boleh pakai yang serasi, memastikan pengalaman lancar serta lebih mudah.
Spesifikasi BYD M6 di Malaysia
BYD M6 dikuasakan oleh bateri BYD Blade dengan kapasiti 55.4kWh untuk varian Standard, menghasilkan 120kW dan tork 310Nm.
Bagi varian Extended, ia dijana oleh bateri berkapasiti 71.8kWh, menghamburkan 150kW.
Ia menawarkan jarak gerak masing-masing pada 420km serta 530km.

Dengan pengecasan pantas 115kW, bateri boleh dicas semula dari 10 peratus hingga 80 peratus dalam masa 40 minit.
MPV ini menyokong pengecasan pantas DC, selain pengecasan rumah menggunakan sumber kuasa AC untuk kegunaan harian.
Keselamatan adalah keutamaan dalam BYD M6. Kedua-dua varian dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan seperti Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS), ISOFIX, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Brek Parkir Elektrik (EPB), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), dan Kawalan Cengkaman (TCS).
Varian Extended menawarkan ciri keselamatan tambahan termasuk Brek Kecemasan Automatik (AEB), Kawalan Pelayaran Pintar (IC), Amaran Perlanggaran Depan dan Belakang (FCW, RCW), Pengesanan Titik Buta (BSD), dan Bantuan Keluar Lorong (LDA).

BYD M6 ditawarkan dalam empat pilihan warna: Crystal White, Ink Stone Blue, Cosmos Black, dan Harbour Grey.
Beralih pada harga, BYD M6 boleh dimiliki pada harga RM109,800 (varian Standard) dan RM123,800 bagi varian Extended.
MPV ini dilengkapi dengan pakej jaminan yang meliputi jaminan kenderaan selama 6 tahun atau 150,000 km, jaminan bateri selama 8 tahun atau 160,000 km dengan SoH melebihi 70 peratus, dan jaminan unit pacuan selama 8 tahun atau 150,000km.
Bersempena pelancaran ini, Sime Darby Motors menawarkan promosi istimewa untuk 300 tempahan terawal varian Extended dengan hadiah pengecas rumah percuma.
Selain itu, 100 pelanggan pertama yang membuat tempahan di acara pelancaran di Dataran Karnival Shah Alam akan menerima kredit pengecasan RM800.
GALERI:




















- BACA: DARWINPRO JADIKAN HURACAN EVO LEBIH GANAS – SUDAH TENTU DENGAN KOS YANG TINGGI
- BACA: SUBARU WRX NYARIS JATUH GAUNG SELEPAS JATUH DARI FLATBED – KUS SEMANGAT
- BACA: HONDA FORZA 125 2025 DIPERKENAL DI EROPAH, SKRIN TFT, KEMAS KINI ECU
- BACA: KENAPA ADA LUBANG ANGIN DI TEPI KUSYEN HONDA CITY e:HEV?



