Buletin

BYD M6 EV BAKAL TIBA DI PASARAN INDONESIA

Pengeluar kenderaan China, BYD, masih melihat pasaran MPV sebagai segmen yang strategik untuk memperkenalkan produknya.

Terkini, BYD akan melancarkan MPV elektrik M6 di Indonesia, dengan unit tersebut telah beberapa kali dirakam oleh media tempatan sedang menjalani ujian.

Dalam kenyataan mengenai kehadiran M6 di Indonesia, BYD menyatakan pihaknya sedang menjalankan kajian dan menguji model kenderaan yang sesuai untuk pasaran tempatan.

“BYD komited untuk menyediakan produk yang memenuhi keperluan pasaran Indonesia. Kami kini menjalankan kajian untuk pelbagai model,” kata Presiden Pengarah PT BYD Motor Indonesia (BMI), Eagle Zhao.

“MPV adalah model penting dan strategik yang mewakili pasaran automotif Indonesia,” tambahnya.

Zhao turut meminta orang ramai untuk bersabar berhubung rancangan masa depan BYD dalam memperkenalkan MPV tersebut.

“Sila bersabar dan berikan BYD masa. Kami akan memilih masa yang sesuai untuk membuat pengumuman rasmi,” katanya.

Kereta M6 ini juga telah menarik perhatian media automotif di China. Unit ini dirakam tanpa sebarang pelekat penyamaran dan mempunyai stereng di sebelah kanan, menunjukkan ia mungkin untuk pasaran eksport seperti Indonesia.

Untuk rekod, MPV M6 adalah EV berasaskan BYD Song Max, yang asalnya dikuasakan oleh enjin tulen atau hibrid (PHEV).

Pada Jun ini, M6 mula dijual di Hong Kong dengan stereng di sebelah kanan, dalam pilihan 6 dan 7 tempat duduk.

Ia dilengkapi bateri Blade berkapasiti 71.8kWj yang memacu motor elektrik dengan kuasa 201hp dan tork 310Nm.

Google ads
Back to top button