Artikel Pilihan

SUBARU WRX NYARIS JATUH GAUNG SELEPAS JATUH DARI FLATBED – KUS SEMANGAT

Cara paling selamat untuk membawa jentera perlumbaan ke lokasi ialah dengan menggunakan trak tunda khususnya jenis flatbed. Tapi kalau tak diikat dengan sempurna ia boleh menjadi bencana. Tapi nak buat macam mana, kadang-kadang pemandu flatbed pun ada yang cuai. Kecuaian tersebut nyaris dibayar dengan harga yang mahal kerana kereta yang dibawa ialah jentera rali Subaru WRX.

Klip video pendek yang tular dalam media sosial menunjukkan sebuah flatbed sedang membawa Subaru WRX di laluan pergunungan. Lokasi kejadian secara tepat tidak diperolehi tapi ada yang mengatakan ia bertempat di lokasi terpencil di Turki. Apa pun ia memang membuatkan jantung berdetak laju.

Jelas kelihatan pada awal video yang kereta tersebut tidak ‘ditambat’ langsung dan mula bergerak ke belakang bila trak flatbed memecut. Sebaik pemandu trak menekan brek, WRX tersebut bergerak ke depan. Haih.

Sebaik berhenti dalam kedudukan yang agak condong, Subaru WRX mula bergerak ke belakang kembali dan terjatuh dari flatbed. Bahagian belakang jatuh dahulu diikuti bahagian depan yang nyaris merobek bahagian bampar depan.

Memang sistem suspensi kereta rali cukup kuat untuk menahan jatuhan badan kenderaan tapi jatuh macam ni bukan salah satu dari tujuan ia dihasilkan.

Sebuah Alfa Romeo Tonale yang berada di belakang terpaksa berhenti dan mengundur untuk mengelakkan WRX yang terjatuh. Ia memburukkan nasib WRX tersebut yang terus meluncur ke lereng pergunungan.

Nasib baik la umur WRX tu masih panjang ia kemudiannya tersangkut pada batu-batu yang berada di pinggir jalan. Kalau tak memang menangis tak berlagu la pemilik dan pemandu flatbed.

Inilah pentingnya mengikut protokol keselamatan yang betul. Satu daripada protokol tersebut ialah ‘menambat’ kenderaan yang sedang dibawa flatbed dengan sempurna dan selamat supaya ia tidak bergerak sewaktu di pandu.

Google ads
Back to top button