Buletin

HONDA FORZA 125 2025 DIPERKENAL DI EROPAH, SKRIN TFT, KEMAS KINI ECU

Melihat kembali ke belakang, Mekanika sudah dua kali melaporkan mengenai Honda Forza 125 iaitu pada 2018 dan 2022.

Sebagai model terkecil dalam siri Forza, skuter ini tampil menarik dengan sesaran enjin yang sesuai untuk pengangkutan harian yang ekonomikal.

Honda baru sahaja mengemaskini Forza 350 dan 750 untuk model tahun (MY) 2025 dan begitu juga ‘mini’ Forza 125.

Kecil bermakna tidak diterima dan di Eropah banyak skuter begini dan jualan Forza 125 setakat September 2023 sudah pun melebihi 115,000 buah.

Dari segi rekaan, Forza 125 MY 2025 sama sahaja seperti MY2023 yang telah menerima beberapa pembaharuan seperti reraut dan meter analog dan digital.

Untuk 2025 Honda sekali lagi mengubah meter dan kali ini menggunakan skrin TFT lima inci digital yang mudah untuk dibaca pada waktu siang dan sambungan telefon pintar melalui aplikasi Honda RoadSync.

Operasi skrin dikawal melalui suis empat arah pada hendal kiri dengan nyalaan belakang.

Penunggang boleh menggunakan navigasi selekoh ke selekoh dan membuat panggilan telefon atau mendengar muzik melalui set kepala topi keledar menggunakan Bluetooth.

Seperti biasa, skrin elektrik boleh dilaras pada julat 180 milimeter (mm). Dua topi keledar penuh boleh dimuatkan di bawah pelana yang kini mempunyai lampu.

Selain menghidupkan motosikal dan mengunci ruang simpanan, Kunci Pintar boleh digunakan untuk Kotak Belakang Pintar 45 liter yang ditawarkan sebagai pilihan.

Kotak tidak berkunci apabila Kunci Pintar disimpan di dalam poket dan akan dikunci secara automatik apabila penunggang berlalu pergi.

Enjin 125 cc enhanced Smart Power+ (eSP+) menghasilkan 14.5 ps pada 8,750 rpm dan 12.3Nm pada 6,500 rpm.

Dari segi ketangkasan, pecutan dari 0 sehingga 200 meter memerlukan 13.3 saat dan kelajuan tertinggi 108 kilometer sejam (km/j). Tangki petrol mempunyai kapasiti 11.7 liter.

Honda memaklumkan penggunaan bahan api ialah 41.7 kilometer per liter (km/l) dan setangki petrol boleh digunakan sehingga 500 km.

Forza 125 mempunyai nilai yang baik dan sejak dari sebelum ini lagi sudah dilengkapi Honda Selectable Torque Control (HSTC) bagi membantu cengkaman.

Sistem Henti Melahu mematikan enjin secara automatik selepas tiga saat Forza dalam keadaan pegun.

Walaupun tiada perubahan pada enjin, Honda telah mengemaskini tetapan Unit Kawalan Enjin (ECU) dan mengubah struktur dalam peredam ekzos dan penderia SO2 ditambah untuk pematuhan Euro 5+.

Dengan badan yang tegap, tinggi pelana ialah 780 mm dan jarak kelegaan bumi 141 mm. Beratnya pula 164 kilogram.

Untuk suspensi, penyerap hentak teleskopik 33 mm dan jarak gerak 89 mm berada di depan manakala dua penyerap hentak belakang dengan jarak gerak 101 boleh dilaras pada lima tetapan.

Rim 15 inci depan dipasangkan tayar 120/70 dan rim 14 inci belakang bersama tayar 140/70. Menghentikan motosikal ialah brek cakera 256 mm di depan dengan angkup dua omboh dari Nissin.

Set belakang terdiri daripada cakera 240 mm dan angkup tunggal juga dari Nissin. Sistem Brek Anti-Kunci jenis dua saluran.

Honda Forza 125 2025 ditawarkan dalam dua warna baharu iaitu Mat Pearl Pacific Blue dan Mat Pearl Cool White selain pilihan sedia ada Mat Cynos Gray Metallic dan Pearl Falcon Gray.

Meneruskan tradisi MY2023, Honda turut menawarkan edisi istimewa dalam warna Mat Cynos Gray Metallic dan kali ini dengan rim warna gangsa dan grafik badan khas.

Google ads
Back to top button