
BYD SEAL O6 EV BAKAL DILANCARKAN DI CHONGQING AUTO SHOW – JARAK GERAK 545KM, JANA 215HP
BYD bakal melancarkan model elektrik terbaharunya, Seal 06 EV, secara rasmi pada Chongqing Auto Show yang akan bermula 7 Jun ini.
Model ini dibangunkan berasaskan platform termaju e-Platform 3.0 Evo, menjanjikan peningkatan ketara dalam aspek reka bentuk, prestasi pemanduan, keselesaan serta ciri keselamatan.
Reka bentuk luaran Seal 06 EV masih setia dengan pendekatan “ocean aesthetics” BYD, dengan gril hadapan tertutup, lampu utama yang runcing dan tirus, serta kemasan bawah berbentuk trapezoid.

Bampar hadapan turut dihiasi aksen berbentuk L yang menyerlahkan aura sporty. Dari sisi, siluetnya mirip hatchback dengan pemegang pintu yang terbenam dan rekaan bumbung terapung. Garisan pinggang yang menanjak bersama permukaan yang licin memberikan gaya agresif dan dinamik.
Bahagian belakang pula menampilkan unit lampu LED sepenuhnya merentangi lebar kereta dengan lensa gelap dan perincian ala diffuser, melengkapkan gaya atletik model ini.
Di ruang kabin, Seal 06 EV mengekalkan susun atur identiti dalaman BYD dengan paparan pusat terapung boleh putar dan kerusi hadapan yang disepadukan. Konsol tengah turut memuatkan butang penghidup enjin serta pad pengecas tanpa wayar, menekankan kemudahan penggunaan dan keutuhan identiti jenama.

Maklumat dari Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China (MIIT) menyatakan bahawa model ini akan ditawarkan dengan dua pilihan bateri: 46.08kWh untuk jarak 470 km (CLTC) dan 56.6kWh yang mampu mencapai sehingga 545 km.
Bateri tersebut masing-masing seberat 350 kg dan 410 kg, menyumbang kepada berat keseluruhan kenderaan iaitu 1,670 kg dan 1,800 kg.
Selain itu, dua pilihan motor elektrik juga disediakan, iaitu 110kW (148hp) dan 160kW (215hp), dengan kelajuan maksimum ditetapkan pada 160 km/j.
Dari segi saiz, Seal 06 EV berukuran 4,720mm panjang, 1,880mm lebar dan 1,495mm tinggi, dengan jarak roda 2,820mm — menjadikannya lebih panjang 90mm dan lebih tinggi 5mm berbanding versi hibrid plug-in, Seal 06 GT.

Dimensi dan spesifikasi ini juga hampir sama dengan model Qin L EV, menunjukkan kedua-duanya mungkin berkongsi asas binaan yang serupa.
Menariknya, model ini bakal menggunakan logo baharu BYD, menggantikan tulisan “Build Your Dreams”.
Seal 06 EV turut dijangka dilengkapi sistem bantuan pemanduan pintar DiPilot 100 atau dikenali sebagai sistem “God’s Eye” C yang menggunakan tiga kamera hadapan serta pelbagai sensor tambahan di fender dan spoiler bumbung belakang.

