Buletin

KUASA LEBIH, GAYA LEBIH BUAS – TOYOTA MAHU TAMBAH KUASA GR COROLLA DAN GR YARIS!

Bagi tahun 2025, Toyota GR Corolla muncul dengan peningkatan ketara, lebih tork dan transmisi automatik baharu Direct 8-kelajuan. Namun, ini mungkin sekadar permulaan bagi model hatchback berprestasi tinggi ini.

Dalam satu temu bual bersama portal Motor1, Ketua Jurutera Toyota, Naoyuki Sakamoto memberi bayangan bahawa GR Corolla dan GR Yaris bakal menerima suntikan kuasa tambahan dalam masa terdekat.

“Kami sedang mencari jalan untuk meningkatkan kuasa enjin, dan dengan perancangan yang teliti, kami harap dapat bawa peningkatan itu ke model produksi,” ujar Sakamoto.

Namun, usaha itu tidak semudah yang disangka. Menurut Sakamoto, ujian kuasa tambahan ke atas enjin versi perlumbaan Corolla TCR di litar Sonoma telah mendedahkan had sebenar keupayaan jentera tersebut.

“Kami cuba naikkan kuasa enjin dalam Corolla TCR… dan ia gagal. Kami tahu di mana batasnya dan bagaimana untuk tambahkan kuasa, tetapi ia masih dalam kajian,” katanya.

Buat masa ini, Toyota masih belum mengesahkan versi GRMN bagi GR Corolla atau GR Yaris. Walau bagaimanapun, khabar angin menyebut bahawa versi GRMN ini akan menggunakan enjin 1.6 liter turbo tiga silinder yang sama, tetapi dengan talaan eksklusif untuk menghasilkan lebih kuasa dan tork.

Peningkatan prestasi ini juga dijangka disertai dengan komponen khas untuk litar seperti kit aerodinamik baharu, suspensi talaan semula, rim ringan, serta tayar berprestasi tinggi.

Satu prototaip yang dikatakan GRMN Corolla telah dikesan menggunakan rim BBS tempa 18-inci dengan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 bersaiz 245/40 ZR18, lebih lebar berbanding tayar 235/40 ZR18 pada edisi Circuit Edition.

Sekiranya semuanya berjalan lancar, GRMN Corolla mungkin akan dilancarkan sebelum hujung tahun ini, dengan GRMN Yaris dijangka membuat kemunculan awal di pasaran Eropah.

Google ads
Back to top button