Buletin

TOYOTA SYI OUTRUN 2025 KEMBALI, TAWAR HADIAH WANG TUNAI KESELURUHAN RM138K

UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan penganjuran Toyota Start Your Impossible (SYI) Outrun 2025, sebuah acara larian amal tahunan yang sarat dengan mesej perpaduan, daya tahan dan kemanusiaan.

Bertempat di Dataran Wawasan, Putrajaya pada 27 Julai 2025 (Ahad), larian ini bukan sekadar aktiviti fizikal tetapi satu gerakan sosial yang menyeru rakyat Malaysia untuk bersama menyemarakkan harapan dan perubahan.

Dilancarkan di bawah kempen global Start Your Impossible oleh Toyota Motor Corporation, acara ini mencerminkan peralihan Toyota daripada pengeluar kenderaan kepada penyedia mobiliti sejagat – memberi tumpuan kepada keterangkuman, kebebasan bergerak dan inovasi demi masyarakat.

Di Malaysia, Outrun 2025 bukan sahaja menyambung legasi larian terdahulu yang telah mengumpul lebih RM500,000 untuk organisasi seperti Majlis Paralimpik Malaysia dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), malah tahun ini fokus diberikan kepada membantu mereka yang terkesan akibat kanser sambil memupuk rasa kebersamaan dalam komuniti.

Tiga kategori larian ditawarkan tahun ini:

  • Larian Santai 5KM – Mesra keluarga, terbuka kepada semua, termasuk kanak-kanak berusia 5 tahun ke atas
  • Larian Kompetitif 10KM – Dengan segmen terbuka lelaki & wanita serta kategori veteran
  • Separa Maraton 21KM – Diperkenalkan buat pertama kali, bagi pelari berpengalaman

Dengan penambahan kategori 21KM, SYI Outrun bukan sekadar larian kesihatan tetapi medan untuk menguji ketahanan fizikal dan mental, seiring dengan semangat Start Your Impossible.

Hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM138,000 disediakan bagi 10 pelari terbaik dalam kategori 10KM dan 21KM.

Semua peserta akan menerima kit larian eksklusif, termasuk pingat dan nombor larian, manakala pelari 21KM akan mendapat jersi penyudah edisi khas sebagai simbol pencapaian luar biasa mereka.

Maklumat Pendaftaran:

Toyota mengajak semua rakyat Malaysia untuk menyertai larian ini, bukan hanya demi kecergasan, tetapi demi menyumbang kepada masyarakat.

Google ads
Back to top button