Motosikal

VOGE DS625X LANCAR DI CHINA – 63HP, 57NM

VOGE yang merupakan jenama premium dan anak syarikat Loncin, telah pun memperkenalkan model baharu menerusi Voge DS625X bulan lalu. 

Motosikal segmen adventure itu menandakan perkembangan terbaru dari VOGE untuk menyaingi segmen yang popular di pasaran global termasuk di Malaysia. 

Atas kertas, DS625X dipacu platform parallel-twin serba baharu yang bersesaran 581cc dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menjana 63hp pada 9,000rpm dan 57Nm pada 6,500rpm. 

Kami berpeluang melihat dengan lebih dekat model baharu tersebut ketika lawatan ke kilang Loncin sekitar bulan Mac lalu. Ketika itu, kami dimaklumkan bahawa enjin tersebut telah ditala agar menghasilkan gegaran yang minimum selain menawarkan pengurusan haba yang lebih baik sekaligus menghasilkan pengalaman menunggang yang lebih selesa.

Antara perincian lain ditawarkan termasuk tayar berukuran 19-inci depan dan 17-inci belakang dengan rim jenis lidi (spoke), fork KYB 41mm boleh laras depan dan penyerap hentak tunggal di belakang. 

Atas kertas, berat keseluruhan DS625X ini diletakkan pada 220kg dengan tangki bahan api berkapasiti 17.6L. Selain itu, motosikal ini turut hadir dengan skrin TFT 7” yang menawarkan fungsi navigasi dan TPMS (tyre pressure monitoring system). 

Kelengkapan lain ditawarkan termasuk:

  • dashcam dengan rakaman 1080p
  • pengecas UBS dan slot 12V
  • brek Nissin
  • ABS dwi-saluran (boleh dipadamkan)
  • handguard
  • penghadang angin boleh laras

Bagi pasaran Malaysia, motosikal VOGE dipasarkan secara CKD oleh pihak MForce Bike Holdings yang ketika ini menawarkan Voge FR150 dan DS900X.

Google ads
Back to top button