
KENAPA BUGATTI TOURBILLON GUNAKAN ENJIN NA – INI PENJELASAN MATE RIMAC
Kita semua tahu Bugatti Chiron merupakan evolusi kepada Veyron. Kini muncul pula Tourbillon dengan enjin NA V16, jauh berbeza dari Chiron dan Veyron yang menggunakan enjin quad-turbo W-16 yang terkenal tu.

Enjin baharu ini mendapat sentuhan Cosworth dan 42 peratus lebih ringan berbanding enjin Chiron. Jurutera Bugatti dan Cosworth berjaya meringankan lagi enjin tersebut dengan membuang terus empat unit pengecas turbo yang menjadi identiti enjin W-16 sebelum ini.
Mate Rimac dalam temubual bersama Top Gear menyatakan beliau tidak dapat melihat sebarang faedah penggunaan pengecas turbo pada supercar hibrid. Kekurangan kuasa akibat ketiadaan pengecas turbo akan ditampung oleh komponen hibrid dan pada masa yang sama memberikan kelebihan elektrifikasi.

Tourbillon contohnya mempunyai bateri bersaiz besar yang membolehkannya dipandu sejauh 70 kilometer dalam mod elektrik sepenuhnya. Kan senang nak keluar malam masa bini dah tidur.
Mate menjelaskan dengan ketiadaan empat pengecas turbo, mereka kehilangan sekitar 600 hp kuasa. Bagaimanpun penggunaan tiga motor elektrik mengatasi masalah tersebut bahkan ia mampu menjana kuasa sebanyak 800 hp. Lagi tinggi daripada asal. Bila digandingkan dengan enjin V16, Tourbillon kini mempunyai kuasa maksima 1,800 hp! Jauh lebih berkuasa berbanding saudaranya terdahulu selain lebih ringan.
Berat keseluruhan Tourbillon dengan segala bendalir dan petrol penuh tangki hanyalah 1,995 kilogram. Lebih ringan dari Rimac Nevera dan Koenigsegg Gemera.

