Buletin

TAK HANYA EV, MERCEDES-BENZ ‘BABY G-CLASS’ BAKAL HADIR SEBAGAI PHEV

Hasrat Mercedes-Benz untuk menjadikan “Baby G-Class” sebagai SUV elektrik sepenuhnya nampaknya tidak lagi kekal.

Perubahan landskap pasaran, khususnya permintaan EV yang semakin perlahan di beberapa wilayah, memaksa jenama Jerman itu menyusun semula strategi.

Kini, model kompak berimej lasak itu bakal ditawarkan dengan pilihan hibrid selain versi elektrik tulen.

SUV yang digelar “Little G” dalam kalangan dalaman syarikat itu dijangka muncul sekitar 2027. Saiznya dikatakan hampir setara Mercedes-Benz GLB, dengan konfigurasi dua baris tempat duduk.

Walaupun versi EV masih dalam perancangan, varian baharu hibrid turut dibangunkan menggunakan enjin empat silinder turbo 1.5 liter yang sama seperti pada Mercedes-Benz CLA generasi terbaharu.

Langkah ini mencerminkan pendekatan lebih fleksibel yang diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Ola Källenius, yang menegaskan enjin pembakaran dalaman akan terus ditawarkan hingga dekad 2030-an.

Prestasi jualan yang kurang memberangsangkan bagi Mercedes-Benz G580 with EQ Technology turut dipercayai menjadi antara faktor penilaian semula tersebut.

Unit hibrid berkenaan dibangunkan Mercedes dan dihasilkan oleh Horse Powertrain di China, sebuah usaha sama membabitkan Geely dan Renault.

 Dalam CLA 220 Hybrid, gabungan enjin dan motor elektrik pada transmisi itu menjana sekitar 208hp serta 380Nm tork, dengan pecutan 0-100km/j sekitar 7.1 saat. Namun, angka rasmi untuk Little G masih belum dimuktamadkan.

Bagi varian elektrik pula, ia dijangka hadir dengan dua motor serta pacuan semua roda sebagai ciri standard.

Bateri 85kWh jenis NMC dikatakan mampu memberikan jarak hampir 724km (WLTP) – angka yang cukup mengagumkan bagi SUV berbentuk ‘kotak mewah’. Sebagai perbandingan, G580 elektrik penuh hanya dinilai sekitar 450km (WLTP).

Menariknya, kedua-dua versi akan dipadankan dengan sistem pacuan empat roda sepenuhnya, lengkap teknologi torque vectoring canggih bagi mengagihkan kuasa ke setiap roda secara individu – mengekalkan reputasi G-Class sebagai jentera off-road sejati.

Dari segi rekaan, Baby G dijangka mengekalkan DNA ikonik G-Class: lampu hadapan bulat, cermin tegak, tingkap sisi besar serta tayar gantung di pintu belakang.

Bezanya, semuanya dalam pakej lebih kompak dan diharap lebih mampu milik berbanding tanda harga sekitar AS$163,000 (sekitar RM770,000) yang dibawa G580 EV.

Google ads
Back to top button