
TIGGO CROSS HEV SAH MASUK MALAYSIA. CHERY SUPER HYBRID, 310NM, 5.4L/100KM
Sewaktu berada di majlis Chery Super Hybrid Exploration Tour di Ibu Pejabat Chery di Wuhu, China minggu lalu, saya ada terlihat satu maklumat menarik yang ada pada dinding ruang pameran.
Di situ jelas ditulis Pelan Pelancaran Kenderaan Baharu Chery 2025 yang menunjukkan Malaysia akan menerima model Tiggo 4 HEV, manakala SUV Tiggo 7 PHEV bakal dilancarkan di Kuwait.
Tiggo Cross HEV atau dikenali sebagai Tiggo 4 di pasaran Chins akan menjadi model hibrid pertama yang ditawarkan oleh Chery Malaysia. Ia akan membuat penampilan pertama pada acara Malaysia Auto Show 2025 minggu depan, sebelum dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi.

SUV kompak itu hadir dengan sistem hibrid terkini Chery, dikenali sebagai CSH (Chery Super Hybrid) yang menjanjikan pemanduan yang lancar dan responsif. Rangkaian kuasa tersebut menggabungkan enjin petrol 1.5 liter aspirasi biasa (NA) dengan motor elektrik berkuasa tinggi.
Enjin empat silinder dengan kitaran Atkinson itu mampu menjana kuasa mencecah 97hp dan tork 118Nm. Manakala dua unit motor elektrik dengan bateri berkapasiti 1.83kWj tersebut berupaya membekalkan kuasa sehingga 201hp dan tork 310Nm. Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear khas untuk enjin hibrid (DHT).
Gabungan sistem hibrid itu membolehkan Tiggo Cross HEV menawarkan penjimatan bahan api sehingga 5.4 liter bagi setiap 100km. Jadi, dengan satu tangki penuh, anda boleh bergerak sejauh 1,000km!

Dari segi penampilan, Tiggo Cross HEV mengekalkan reka bentuk luaran yang dinamik dengan gril hadapan bersaiz besar dan lampu LED yang tajam. Bahagian belakang pula dilengkapi dengan bar lampu LED, spoiler bersama lampu brek ketiga dan emblem Chery yang dieja sepenuhnya.
Tidak perlu risau tentang keselamatan kerana Tiggo Cross HEV telah menerima penarafan keselamatan lima bintang daripada Program Penilaian Kereta Baharu Australasian (ANCAP),
Apabila dilancarkan kelak, Tiggo Cross HEV dijangka menjadi pilihan menarik dalam segmen SUV segmen A yang kini dimonopoli oleh model-model seperti Perodua Ativa dan Honda WR-V.
- BACA: CHERY TIGGO 9 DAN TIGGO 9 C-DM 2025 DILANCARKAN – HARGA BERMULA RM90K
- BACA: CHERY TIGGO 7 – JUALAN AMAL CHERY. ADA UNTUNG KE NI?
- BACA: CHERY TIGGO 7 SPORT DILANCARKAN SEPTEMBER INI DI CHINA – JANA 194HP, HARGA BERMULA RM61K
- BACA: CHERY SERAH ROBOT HUMANOID AiMOGA. SA DAH TAK BOLEH CARI MAKAN?
GALERI



