
DARI HIBRID KE EV: NISSAN JUKE BAHARU KINI TAMPIL AGRESIF, LANCAR 2027
Nissan sekali lagi mencuri perhatian dengan memperkenalkan Nissan Juke generasi baharu yang kini tampil sebagai EV penuh dan dibina di Britain.
Ini sekaligus juga menandakan perubahan besar bagi model SUV kompak yang terkenal dengan reka bentuk “lain daripada yang lain” itu.
Model terbaharu ini merupakan Juke generasi ketiga dan menjadi EV ketiga dalam barisan elektrifikasi Nissan.
Ia direka untuk menarik kelompok pelanggan baharu, dengan gaya luar yang jauh lebih berani dan futuristik berbanding sebelum ini.

Sejak dilancarkan pada 2010, Juke kekal sebagai salah satu model terlaris Nissan di Eropah dengan lebih 1.5 juta unit terjual, hanya di belakang Qashqai.
Kini, versi baharu ini membawa pendekatan lebih agresif dengan rekaan yang diinspirasikan daripada konsep Hyper Punk yang pernah dipamerkan sebelum ini, termasuk lampu hadapan dan belakang dengan identiti visual tersendiri.
Dibina menggunakan platform CMF-EV, Juke baharu ini akan dipasang bersama Nissan Leaf di kilang Sunderland, United Kingdom.
Ia juga dijangka berkongsi banyak komponen teknikal dengan Leaf elektrik baharu, yang menawarkan pilihan bateri sekitar 52kWh dan 75kWh, dengan jarak pemanduan sehingga kira-kira 386 batu serta kuasa maksimum sekitar 215hp.
Namun, Juke dijangka diberikan talaan khusus bagi membezakan karakter pemanduannya supaya lebih “dinamik”.
Walaupun berkongsi asas yang hampir sama dengan Leaf, Nissan menegaskan kedua-dua model ini mensasarkan kumpulan pelanggan berbeza.
Menurut pihak syarikat, pembeli Juke berada dalam “dunia pengguna yang berbeza”, sekali gus mengelakkan pertindihan pasaran.
Menariknya, Nissan tidak akan terus menghentikan Juke generasi kedua. Model sedia ada dengan enjin hibrid masih akan dijual bersama versi EV baharu ini, sebagai langkah mengimbangi permintaan pasaran yang masih belum sepenuhnya beralih kepada elektrik.
Versi kemas kini model lama itu dijangka menerima perubahan pada rekaan dan teknologi bagi memastikan ia kekal relevan.
Pembangunan Juke baharu ini melibatkan pasukan di United Kingdom, Sepanyol dan Jerman, sekali gus mengukuhkan lagi peranan Eropah sebagai pusat utama operasi dan inovasi Nissan.
Ujian pengeluaran di kilang Sunderland akan bermula dalam beberapa minggu lagi, sebelum pengeluaran penuh dijadualkan sekitar awal 2027.
Pelancaran pasaran dijangka menyusul pada musim bunga tahun yang sama.

