Buletin

SISTEM HIBRID BAHARU GEELY i-HEV CATAT 2.22L/100KM DAN KECEKAPAN 48.4 PERATUS

Geely memperkenalkan sistem hibrid generasi baharu dikenali sebagai i-HEV “Intelligent Energy”, yang bakal digunakan pada model volum tinggi jenama itu dalam tempoh terdekat.

Teknologi ini disahkan akan digunakan pada model seperti Geely Preface (Xingrui) dan Geely Monjaro (Xingyue L), sebelum diperluaskan ke lebih banyak model arus perdana bermula 2026.

Menurut pengeluar itu, sistem i-HEV dibangunkan dengan pengurusan tenaga berasaskan kecerdasan buatan yang mampu meningkatkan kecekapan keseluruhan lebih 10 peratus.

Pendekatan ini dilihat selari dengan perubahan hala tuju industri automotif China yang kini kembali memberi perhatian kepada hibrid sebagai pilihan lebih kos efektif berbanding kenderaan elektrik sepenuhnya.

Sistem ini menggunakan enjin khusus hibrid dengan kecekapan terma dilaporkan mencecah 48.4 peratus, antara tertinggi dalam pengeluaran besar-besaran.

Motor elektriknya pula menghasilkan kuasa sehingga 230kW, sekali gus membolehkan pecutan 0 hingga 30km/j dalam 1.84 saat, dengan penekanan kepada respons pantas dalam pemanduan bandar serta pemulihan tenaga lebih efisien.

Lebih menarik, sistem i-HEV ini mencatat penggunaan bahan api serendah 2.22 liter bagi setiap 100km dalam ujian gabungan yang disahkan Guinness, memberikan pengesahan pihak ketiga terhadap tahap kecekapan tersebut.

Bagi model terawal, Geely Preface i-HEV mencatat penggunaan bahan api WLTC sekitar 3.98L/100km, manakala Geely Monjaro i-HEV merekodkan 4.75L/100km.

Geely mengesahkan sistem i-HEV ini akan diperluas ke model lain termasuk Emgrand dan Boyue. Ia turut menyokong beberapa pilihan enjin khusus hibrid seperti 1.5L, 1.5TD dan 2.0TD yang dipadankan dengan unit pacuan elektrik 11-dalam-1.

Langkah ini hadir ketika pengeluar automotif China meningkatkan pembangunan teknologi hibrid, dengan sasaran penggunaan bahan api sekitar 2 hingga 3L/100km dalam keadaan tertentu.

Pendekatan tersebut juga memberi tumpuan kepada gabungan prestasi dan kecekapan, berbeza dengan sesetengah strategi global yang lebih menekankan elektrifikasi sepenuhnya.

Dengan pelaksanaan bermula 2026, sistem i-HEV dijangka memainkan peranan penting dalam peluasan teknologi hibrid Geely merentasi barisan model arus perdana mereka, sambil menawarkan keseimbangan antara penjimatan bahan api dan prestasi pemanduan.

Google ads
Back to top button