
PERODUA MYVI D01D – BAKAL GANTIKAN MODEL LAMA.
Nama Perodua Myvi memang tak perlu diperkenalkan lagi. Sejak dilancarkan bermula tahun 2006, ia kekal sebagai kereta kompak mampu milik yang praktikal, tahan lasak dan sesuai untuk semua untuk segenap lapisan pengguna.
Namun untuk generasi baharu dengan kod D01D yang memasuki generasi ke 4, Myvi nampaknya bakal melalui perubahan paling besar dalam sejarahnya. Berdasarkan pelbagai maklumat dan spekulasi yang mula tersebar melalui laman Automachi, Myvi generasi baharu ini dijangka menjadi model pertama Perodua yang ditawarkan dengan sistem hybrid untuk jualan umum.
Ini satu langkah besar kerana sebelum ini teknologi hybrid Perodua hanya diperkenalkan secara terhad melalui program sewaan seperti Perodua Ativa Hybrid. Jika benar, ini bermaksud era elektrifikasi dan hibrid Perodua mungkin bermula dengan Myvi bukannya Axia atau Bezza seperti yang ramai jangkakan sebelum ini.
Dari segi penawaran trenkuasa, Myvi D01D berkemungkinan menggunakan sistem hybrid 1.5 liter, mirip kepada apa yang digunakan pada Toyota Vios Hybrid. Gabungan enjin petrol 2NR-VEX dan motor elektrik dijangka menghasilkan sekitar 91 PS dan 121Nm tork
Sistem hibrid ini digabungkan dengan motor elektrik yang menjana 80 PS dan 141Nm tork, dengan bantuan bateri ion lithium sebesar 0.76Kwh. Gabungan kuasa adalah sekitar 111 PS sekiranya ia menggunakan trenkuasa sama dengan Vios Hybrid dan memberikan purata penggunaan bahan api sekitar 27.8km per liter petrol.
Walaupun angka ini nampak hampir sama dengan enjin aspirasi semula jadi (NA) biasa, karakter pemanduannya dijangka jauh berbeza. Dengan bantuan motor elektrik, respon throttle akan jadi lebih pantas dan pecutan dari kelajuan rendah lebih responsif sesuatu yang memang ketara pada kereta hybrid moden.
Dalam masa sama, Myvi baharu ini tidak akan meninggalkan pengguna yang masih mahukan pilihan konvensional. Menurut maklumat Automachi, ia dijangka ditawarkan dengan beberapa pilihan enjin termasuk 1.3L NA, 1.5L NA dan juga varian 1.5L hybrid (HEV).
Pendek kata, pembeli masih mempunyai pilihan mengikut bajet dan keperluan samaada boleh memilih enjin 1300cc Dual VVT-i ataupun enjin 1500cc Dual VVT-i. Manakala pembeli yang mahukan penjimatan bahan api, kuasa dan teknologi lebih canggih boleh memilih varian hybrid.
Satu lagi trenkuasa yang boleh dipertimbangkan untuk Myvi baru bagi varian hybrid ialah trenkuasa hibrid yang sama digunakan oleh Perodua Ativa Hybrid. Model ini menggunakan enjin 1.2 WA-VEX yang bertindak sebagai pengecas bateri, yang seterusnya memacu motor elektrik yang berkuasa 106 PS dan 170Nm tork
Berbeza dengan sistem hibrid yang ditawarkan oleh Toyota yang menggunakan sistem hibrid parallel (enjin dan motor elektrik sama sama memacu roda) sistem e-Smart Hybrid ini adalah sistem hibrid series yang sama seperti Nissan Kick.
Satu lagi perubahan penting adalah penggunaan platform baharu, iaitu platform DNGA-B (Daihatsu New Global Architecture) yang sama digunakan oleh Toyota Vios, Perodua Alza dan juga Perodua Traz. Platform ini dijangka memberikan peningkatan dari segi kestabilan, pengendalian dan keselamatan.
Dalam dunia automotif moden, teknologi platform memainkan peranan besar dalam menentukan rasa sesebuah kereta terutama dalam aspek pengendalian, keselesaan dan juga NVH. Penggunaan platform DNGA ini adalah asas baharu untuk keseluruhan pengalaman pemanduan Myvi.
Dengan penggunaan platform DNGA-B juga, saiz Myvi juga dijangka akan bertambah. Jarak antara roda dianggarkan meningkat ke sekitar 2,550 mm hingga 2,620 mm, yang secara tidak langsung memberi lebih ruang kepada penumpang, terutama di bahagian belakang.
Ini penting kerana antara kritikan utama Myvi sedia ada ialah ruang kabin yang agak terhad berbanding beberapa pesaing dalam segmen B. Buat masa ini, Perodua masih sangat berahsia dengan rekaan luaran Perodua Myvi baru
Dari segi rekaan pula, walaupun belum ada imej rasmi, Myvi D01D dijangka tampil dengan gaya lebih moden dan matang. Ada kemungkinan ia akan mengambil inspirasi daripada model Perodua lain seperti Alza dan Ativa, dengan garis badan yang lebih kemas, aerodinamik dan sedikit elemen sporty.
Dalam aspek keselamatan, sistem bantuan pemandu (ADAS) kemungkinan akan dikekalkan dengan ciri seperti brek kecemasan automatik (AEB) dan bantuan kekal lorong (lane keep assist). Ini selari dengan trend industri di mana teknologi keselamatan aktif kini semakin menjadi standard, walaupun untuk kereta dalam kategori mampu milik.
Namun begitu, dari segi tarikh pelancaran, semuanya masih belum pasti. Ada laporan awal menyasarkan sekitar tahun 2025. Tetapi perkembangan terkini menunjukkan kemungkinan berlaku kelewatan, terutamanya disebabkan isu yang pernah melibatkan Daihatsu sebelum ini. Oleh itu, tidak mustahil Myvi D01D hanya akan muncul sekitar 2026 atau bahkan 2027.
Tambah menarik lagi ialah terdapat juga bayangan bahawa Myvi generasi ini mungkin mempunyai versi elektrik sepenuhnya (EV). Walaupun perkara ini masih di peringkat awal dan belum disahkan, ia menunjukkan arah tuju Perodua yang semakin serius ke arah elektrifikasi.
Myvi D01D bukan sekadar facelift biasa, tetapi satu perubahan generasi yang menyeluruh. Dengan gabungan teknologi hybrid, platform baharu, ruang lebih luas dan peningkatan keselamatan, ia berpotensi mengubah persepsi terhadap Myvi daripada sekadar kereta rakyat kepada model yang lebih moden dan canggih.

