Buletin

DIPENJARA SELEPAS MENIPU INSURAN FERRARI (YANG SEBENARNYA IALAH TOYOTA MR2)

Ini satu berita menarik dari London tentang seorang penipu yang telah dijatuhkan hukuman penjara selama lapan belas bulan kerana menipu tuntutan insuran akibat kemalangan. Sejumlah £29,000 (RM160,000) telah dibayar kepada individu tersebut dan sekutunya sebelum pihak berkuasa menyedari yang ia sebenarnya satu penipuan.

Insiden kemalangan yang membawa kepada tuntutan insuran tersebut berlaku dalam tahun 2014. Tertuduh, Adam Islam (buat malu Islam betul la mamat ni), telah membuat pengakuan terlibat dalam satu kemalangan dengan kereta “Ferrari” beliau dan telah membuat tuntutan insuran berjumlah £29,000.

Menariknya, Ferrari yang dimaksudkan itu juga merupakan sebuah model tipu kerana ia sebenarnya sebuah Toyota MR2 yang diubahsuai menjadi Ferrari F430.

Kejadian dikatakan berlaku pada 12 September 2014, di kawasan Essex, di mana Adam menyatakan beliau telah terlibat dalam satu kemalangan melibatkan “Ferrari” beliau dengan sebuah Audi A1 yang tak dikenali (sebenarnya dipandu rakannya). Butir-butir kemalangan tersebut bagaimanapun menimbulkan keraguan pihak berkuasa.

Penipuan insuran tidak berada dalam senarai teratas siasatan jenayah di England, malah Jabatan Penguatkuasa Penipuan Insuran (IFED) juga menetapkan sebarang penipuan mestilah dilaporkan oleh syarikat insuran ataupun pihak polis.

Jadi satu-satunya pilihan untuk mendapatkan kembali wang sejumlah £29,000 yang telah dibayar kepada Adam merupakan melalui siasatan pakar penipuan insuran motor yang diketuai oleh Asset Protection Unit (APU).

Adam dan rakan subahat beliau, Abu Khayer telah berjaya meyakinkan pihak insuran untuk membayar pampasan dengan mendakwa kereta beliau telah rosak secara tiba-tiba di selekoh sebelum dilanggar oleh kereta lain yang tiba-tiba muncul.

Adam mendakwa tidak mengenali pemandu yang melanggar keretanya. Kereta Audi A1 yang melanggar “Ferrari” tersebut rupa-rupanya kereta yang disewa dari sebuah syarikat sewa kereta dan diinsurankan oleh syarikat tersebut.

Walaupun bersalah, Abu tidak perlu menanggung sebarang kos kerana dilindungi insuran sedia ada yang dibayar oleh syarikat sewa kereta dan telah berkongsi bayaran lumayan yang diterima dari syarikat insuran dengan Adam.

Perbuatan Adam bagaimanapun berjaya dikesan pangkalan data Hill-Dickinson Netfoil bila cuba membuat tuntutan berganda dari dua buah syarikat sewa kereta untuk kereta gantian akibat kemalangan dengan bantuan Abu Khayer.

Adam Islam (kiri) dan Abu Khyer (kanan) sedang berjalan keluar dari mahkamah Snaresbrook Crown

Berdasarkan maklumat daripada Accident Exchange, APU segera mengerahkan pakar forensik mereka yang terdiri daripada bekas anggota polis dan dengan pantas berjaya membuktikan bahawa kenderaan yang telah melanggar Ferrari palsu Adam dipandu oleh Abu. Kereta tersebut telah disewa oleh Abu beberapa hari sebelum kemalangan.

Siasatan lanjut juga mendapati yang Adam pernah cuba menjual kereta beliau di dalam talian dengan harga £30,000 juga menambahkan lagi syak pihak berkuasa yang ini sememangnya suatu percubaan menipu pampasan insuran.

Bertindak atas penemuan tersebut, APU segera memfailkan saman sekaligus menyaksikan Adam dikenakan hukuman penjara lapan belas bulan. Sekutu beliau, Abu Khayer turut dikenakan hukuman penjara dua belas bulan selain diperintahkan membayar gantirugi kepada Accident Exchange berjumlah £10,000.

Penipuan insurans adalah perkara yang berlaku di seluruh dunia. Tapi bukan itu intipatinya dalam laporan ini. Kami memang terkejut melihat Ferrari yang terlibat dalam kemalangan ni. Memang nampak sangat Ferrari walaupun sebenarnya diubahsuai dari sebuah Toyota MR2!

SUMBER ESSEXLIVE

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button