Artikel Pilihan

KATANYA MR2 BAHARU BAKAL MUNCUL DENGAN 400HP DAN AWD – INI YANG KITA NAK DENGAR

Kaki kereta macam kami dan anda semua memang sentiasa menantikan kereta yang berfokuskan pemandu dan bukannya MPV dengan suspensi ala sampan yang sentiasa muncul setiap tahun. Paling dinantikan semestinya Toyota MR-2 yang sudah lama dihentikan pengeluarannya. Selepas spekulasi demi spekulasi, khabar terbaru dari Jepun menyatakan Toyota kini semakin giat berusaha untuk merealisasikan impian ini.

Bukan itu sahaja, mereka (Toyota) dikatakan sudah memilih enjin, lakaran trenkuasa dan tarikh produksi untuk model sport ikonik ini. Laman web carscoop.com meramalkan ia bakal mempunyai 400 hp kuasa maksima dengan sistem pacuan AWD dan bakal muncul dalam 2 tahun akan datang.

MR2 dihentikan pengeluarannya 17 tahun dahulu ada generasi ketiga. Namun tahun lepas Toyota telah mengeluarkan gambaran FT-Se, sebuah model sport berkuasa elektrik dengan rekabentuk dan lakaran DNA yang menyamai MR2 asal.

Awal tahun ini juga kita digemparkan dengan MR2 pacuan belakang yang bakal muncul dengan enjin yang sama dengan GR Corolla. Sudah tentu aka nada sedikit perubahan untuk disesuaikan dengan MR2 tapi ia bagaimana pun masih kekal sebagai khabar angin.

Laporan BestCar dari Jepun menyebut Toyota sedang sibuk merancang untuk membawakan kembali MR2 dengan sistem AWD. Ia dikatakan bakal menggunakan enjin 2.0 liter empat selinder turbo generasi baharu yang mampu menjana sehingga 400 hp dalam keadaan standard. Ia boleh dipertingkatkan sehingga 600 hp untuk kegunaan perlumbaan!

Semuanya jika dicantumkan satu persatu memberi petanda yang model baharu Toyota sedang dalam pembangunan. Toyota sendiri mengakui mereka sedang membangunkan enjin 2.0 liter berkuasa turbo terbaru. Nak pasang kat mana lagi, ye tak?

Kami jamin Akio Toyoda sendiri memang sangat berminat dengan MR2 baharu ini. Cuma tertanya-tanya sedikit macam mana prestasi MR2 baharu ini andai ia menjadi reality bila dibandingkan dengan Porsche 718 dan Lotus Emira yang berada dalam kategori yang sama. Ah bior le. Yang penting Porsche dan Lotus tu dah masuk kategori premium. MR2 ni dah tentu mempunyai harga yang lebih masuk akal.

Google ads
Back to top button