
EON BUKA PUSAT BAIKI BADAN DAN CAT KERETA DI GLENMARIE
Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) memperkukuh perkhidmatan selepas jualannya menerusi pembukaan pusat pembaikan badan dan cat kenderaan pertama syarikat itu di Glenmarie, Shah Alam.
Pusat berkeluasan 41,508 kaki persegi itu dilengkapi 39 ruang kerja, tiga bilik bancuhan cat serta empat ruang semburan cat bagi menyediakan perkhidmatan pembaikan kenderaan yang lebih menyeluruh.
Kemudahan berkenaan menyokong operasi pelbagai jenama di bawah EON, termasuk Proton, Mitsubishi, Audi dan kenderaan elektrik (EV) smart. Model Proton e.MAS juga dijangka menyertai rangkaian perkhidmatan itu dalam masa terdekat.
Pusat berkenaan menawarkan perkhidmatan membaiki kerosakan akibat kemalangan, memulihkan badan kenderaan serta mengecat semula dengan menggunakan teknologi pembaikan moden dan tenaga kerja terlatih.

Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial berkata, hubungan syarikat dengan pelanggan tidak terhenti selepas kenderaan baharu diserahkan, sebaliknya merangkumi keseluruhan pengalaman pemilikan termasuk penyelenggaraan dan pembaikan.
Menurutnya, pembukaan pusat itu membolehkan EON menyediakan perkhidmatan selepas jualan yang lebih mudah diakses, dipercayai dan memenuhi keperluan pelanggan.
Beliau berkata, operasi pusat berkenaan turut mematuhi prosedur dan piawaian EON bagi memastikan mutu kerja serta perkhidmatan yang menyeluruh.

Menariknya, pusat itu menerima tuntutan pembaikan akibat kemalangan daripada semua syarikat insurans di Malaysia, sekali gus memberikan lebih banyak kemudahan kepada pemilik kenderaan untuk mendapatkan khidmat pembaikan profesional.
EON turut merancang untuk memperluaskan rangkaian pusat pembaikan badan dan catnya pada masa depan, dengan memberi tumpuan kepada lokasi strategik yang mempunyai kehadiran kukuh jenama-jenama di bawah kumpulan itu.
Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha EON memperkukuh ekosistem selepas jualan serta meningkatkan akses pelanggan kepada perkhidmatan penjagaan kenderaan.








