" "
Buletin

PUSAT PROTON EON 3S DIBUKA DI BANTING, LABUR RM6 JUTA UNTUK KERJA UBAH SUAI

Edaran Otomobil Nasional Bhd (EON), anak syarikat milik penuh DRB-HICOM Bhd melancarkan Pusat 3S PROTON EON yang diubah suai.

Pusat baharu itu yang sebelum ini hanya beroperasi sebagai bilik pameran, kini telah dinaik taraf untuk menawarkan perkhidmatan 3S iaitu jualan, perkhidmatan selepas jualan dan penggantian alat ganti.

Dengan sejumlah RM6 juta dilaburkan untuk kerja ubah suai dan naik taraf, Pusat 3S PROTON EON Banting menawarkan pengalaman yang dipertingkatkan kepada pelanggan melalui jualan digital serta jualan selepas perkhidmatan.

Selain, ruang meletak kereta yang luas juga disediakan untuk meningkatkan keselesaan pelanggan.

Bilik pameran yang dinaik taraf merangkumi kawasan binaan seluas 18,775 kaki persegi dan mempamerkan lapan unit kenderaan PROTON.

Melengkapkan bilik pameran adalah pusat servis canggih seluas 12,347 kaki persegi, dilengkapi dengan 10 ruang servis yang menampilkan teknologi terkini.

Pelanggan juga berpeluang mendapat manfaat daripada usaha pendigitalan EON dengan pengenalan Platform Pengurusan Tenaga Kerja (WFM) yang membolehkan pelanggan mendapatkan janji temu untuk servis kereta secara dalam talian dan mendapatkan kemas kini perkhidmatan pada masa nyata.

Bagi mereka yang sedang mencari kereta boleh menempah kenderaan baharu secara dalam talian melalui www.eon.com.my.

EON telah menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan PROTON di Banting sejak 1998 dan mengukuhkan kedudukan sebagai rakan kongsi automotif yang dipercayai dalam komuniti.

Google ads
Back to top button